Kaji keperluan, jangan lemahkan motivasi penjawat awam

Pekeliling baharu elaun perkhidmatan awam bersifat mundur ke belakang

- Advertisement -

PEKELILING baharu Kerajaan Persekutuan berkaitan pemberian elaun perkhidmatan awam hakikatnya tidak dilihat sebagai satu langkah pengukuhan, sebaliknya dicurigai menghala ke satu motif berkaitan politik. Secara khusus, sentimen banyak pihak melihat ia berada dalam kerangka untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam di negara ini.

Walaupun dinyatakan untuk mencapai pelbagai kedinamikan, kefleksibelan dan kerelevanan bersama prinsip-prinsip digariskan, namun bayangan DAP yang pernah vokal dalam perkara ini tidak semudahnya dihilangkan. Ia sangat disangsikan sebagai antara langkah-langkah yang akhirnya mencapai tujuan DAP di sebalik tindakan kerajaan.

Ianya juga adalah lanjutan dari tindakan yang terdahulu telah dibuat terutama menerusi Kementerian Kewangan mengurang atau memansuhkan peruntukan kepada kepentingan-kepentingan dalam negara. Di sebalik kononnya rasionalisasi cuba dilaksanakan, ia sebenarnya telah memangsa, melemah dan merumitkan banyak perkara.

Dalam realiti kemajuan dan kepesatan telah dan sedang, serta disasarkan untuk dicapai negara bersama pertambahan penduduk, jumlah 1.7 juta penjawat awam hakikatnya belum mencukupi. Kebanyakan mereka masih bekerja dengan bebanan berlebihan, sedang kadar imbuhan yang cuma seadanya berbanding kos sara hidup kini.

Perkhidmatan awam selaku jentera terpenting kerajaan menjadi penghubung dengan rakyat yang memerlukan keupayaan mereka sentiasa diperkasakan. Oleh itu tindakan berkaitan jumlah perjawatan dan elaun ini adalah langkah berundur ke belakang dibuat pihak Kerajaan PH. Ia pasti memberi kesan negatif di masa depan.

Kami melihat belum masanya negara membicarakan mengenai kawalan saiz perkhidmatan awam dan menyatakan kebersamaan dengan para penjawat awam. Kami menggesa kerajaan mengkaji perjawatan yang memerlukan elaun berkaitan, bukan pemansuhan atau ketidakselarasan yang bakal melemahkan motivasi perkhidmatan.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 26/12/2019

- Advertisement -

- Advertisement -