Jawi lebih peribumi daripada Dong Jiao Zong?

- Advertisement -

SELAIN menyatakan dengan jelas bahawa Bahasa Melayu yakni Bahasa Kebangsaan harus digunakan pada semua urusan rasmi, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 juga pada Perkara 9, menyatakan “Tulisan bagi Bahasa Kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa Kebangsaan.” [http://www.agc.gov.my/agcportal/uploads/files/Publications/LOM/MY/Akta%2032.pdf]

Jadi kenapakah terdapat segelintir kumpulan di Malaysia seperti Dong Jiao Zong dan GERAKAN contohnya, memilih untuk menidakkan usaha kerajaan cuba memperkenalkan tulisan Jawi kepada para pelajar di sekolah-sekolah Vernakular Cina dan Tamil?

Bukankah sudah terang lagi bersuluh, dasar tersebut bukan saja tidak bercanggah malah selari dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 itu sendiri.

Adakah kaligrafi Jawi remeh berbanding dengan kaligrafi Cina dan Tamil yang segar-bugar diajarkan di rangkaian sekolah-sekolah Vernakular, malah diguna-pakai secara meluas dalam banyak urusan rasmi harian, maka ianya harus dikesampingkan?

Namun ada juga yang cuba mengaitkan isu pengenalan tulisan Jawi sebagai usaha terancang Islamisasi, maka ianya harus ditolak. Persoalannya, adakah dengan sekali terpandang aksara Jawi lantas seseorang itu mampu menjadi Muslim?

Rapuh sungguh keyakinan bukan Muslim Malaysia nampaknya?! Nampaknya juga Malaysia dengan ‘kuil tertua, gereja terbesar dan tokong terpanjang’ masih belum mampu membantu akidah bukan Muslim tempatan.

Pelik juga apabila kumpulan yang sering cuba mengajar Muslim bahawa ‘terpandang’ salib belum mampu membuatkan seseorang Muslim berpindah keyakinan, kenapakah kini, mereka pula berkelakuan seperti ‘hantu lapar’ tak bertuan?

Sedangkan Menteri Pendidikan sendiri telah menafikan bahawa pengenalan tulisan Jawi sebagai satu langkah Islamisasi. [https://www.malaysiakini.com/news/487788]

Malah pihak Kementerian Pendidikan juga sudah berkompromi dan telah mengurangkan pengajaran Jawi kepada hanya akan mengambil tiga muka surat (asal enam muka surat) dalam buku teks Bahasa Melayu dan ianya tidak akan masuk peperiksaan. Bukan itu saja malah ianya juga akan diajarkan jika mendapat kebenaran oleh pelajar dan PIBG sekolah masing-masing. [https://www.malaymail.com/news/malaysia/2019/12/25/understanding-this-saturdays-chinese-organisation-congress-whats-the-fuss-a/1822052]

Dan seperti yang kita semua tahu, semua itu masih tidak berjaya menghalang kumpulan seperti GERAKAN yang kalah teruk pada pilihan raya lepas, tanpa memenangi sebarang kerusi, sama ada di peringkat Parlimen ataupun Negeri, untuk menfailkan bantahan mereka ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Dan pada 28 November lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan GERAKAN dan memutuskan tulisan Jawi boleh diajar di sekolah-sekolah Vernakular Cina dan Tamil di seluruh negara.

Malah memetik Berita Harian, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh memutuskan tulisan Jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Melayu, yang juga Bahasa Kebangsaan.

“Beliau berkata, pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi oleh kerajaan juga tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.” [https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/11/633016/mahkamah-benarkan-pembelajaran-jawi-di-sekolah-cina-tamil]

Maka jelaslah bahawa, baik aksara Jawi ataupun Rumi, ianya tidak menjadi halangan kerana bahasa Kebangsaan boleh dizahirkan dalam kedua-dua aksara ini yang telah lama membumi.

Jadi apakah logika di sebalik kedegilan untuk menidakkan aksara Jawi diajarkan di sekolah-sekolah tanah air?

Kenapakah perlu Dong Jiao Zong menggerakkan pula bantahan massa dengan mahu berhimpun untuk menyatakan bantahan terhadap satu tindakan kerajaan yang bukan saja telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebagai tidak menyalahi undang-undang negara malah selari dengan Perlembagaan Persekutuan?

Oleh itu, eloklah sekiranya kerajaan mula mengambil langkah drastik ke atas gerakan ektremis ini sebelum ianya menjadi lebih membarah. Gesaan GAMIS dan ramai pihak lain seperti, bakal Perdana Menteri ke-8 sendiri, harus dilihat sebagai suara akar umbi yang bukan saja tidak senang malah cuba untuk memberi peringatan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Sanggupkan Dong Jiao Zong sebagai penganjur bertanggungjawab penuh jika terhambur kenyataan-kenyataan yang mengguris pihak-pihak tertentu kelak?

Dan tentunya juga masa depan anak-anak kita tidak harus dibiarkan menjadi mangsa pencaturan jahat segelintir pihak yang sedari dulu jelas tidak pernah mahu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan sebarang usaha dan inisiatif baik kerajaan.

Seperti dakwa Tun Mahathir sendiri ketika melabel Dong Zong rasis kerana menolak juga dasar Sekolah Wawasan yang pernah beliau perkenalkan dulu, “Mereka khuatir untuk membiarkan anak-anak mereka untuk bercampur dengan (anak-anak) Melayu, jadi mereka tidak mahu.” [https://www.nst.com.my/news/nation/2019/08/512353/dr-m-labels-dong-zong-racist-not-agreeing-anything].

- Advertisement -


Sudah sampai masanya juga, negara kita, menjelang kita mempersilakan Wawasan 2020, berhenti membiarkan sesetengah daripada warga kita tidak terus lena dengan mimpi basah China sebagai ‘middle kingdom‘ lagi. Pemikiran ala ‘South China Sea Belongs to China’ harus dicantas segera dan bukannya dibiarkan bercambah dan bermaharajalela.

Dasar Budaya Kebangsaan harus segera dirujuk semula. Hakikatnya dengan penemuan demi penemuan di Sungai Batu contohnya, sekali lagi membuktikan bahawa ketamadunan tempatan tidak kurang gah dan harus terus menjadi teras kepada budaya kebangsaan. Malaysia Baharu tidak harus bersikap acuh tidak acuh dengan dasar-dasar yang membabitkan kedaulatan Malaysia.

Dasar ‘satu negara, dua pentadbiran’ yang diamalkan sesetengah negara, sememangnya tidak akan berjaya. Ianya tidak berkelangsungan. Lihat saja apa yang berlaku di Hong Kong!

Kerajaan tidak boleh terus lemah, tutup sebelah mata dan tunduk dengan gesaan ekstrem yang sangat tidak Malaysia sifatnya. Dan tentunya agak tidak keterlaluan jika kita semua mula bertanya, mana lebih pribumi, tulisan Jawi atau Dong Jia Zong?

HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan Pusat Kajian Media Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) – HARAKAHDAILY 26/12/2019

- Advertisement -