Sokong MB Pahang tangani pencerobohan tanah

- Advertisement -

HUBUNGAN manusia dan alam sekitar sememangnya sangat rapat malah kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain.

Sekiranya satu pihak musnah, maka sengsaralah pihak yang satu lagi. Maka tidak hairanlah apabila Islam begitu menitik beratkan tanggungjawab manusia untuk mengekalkan keharmonian dunia dengan memelihara khazanah bumi anugerah Allah S.W.T, Pencipta Yang Maha Bijaksana.

Hutan, sungai, flora dan fauna adalah khazanah alam yang tiada tara nilainya. Bukan sahaja perlu memelihara anugerah besar ini, kita juga mesti bertindak bijak dalam memanfaatkan hasil bumi bagi memastikan tidak berlakunya kerosakan dan menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Supaya generasi akan datang tidak terbeban dengan pelbagai kemusnahan yang berpunca daripada sifat tamak dan rakus sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Telah terbukti bahawa sifat tamak dan kerakusan menjarah khazanah bumi telah menatijahkan ancaman kepada kehidupan manusia.

Tanah runtuh, banjir lumpur, kemusnahan flora dan fauna serta kepupusan haiwan lindungan adalah rantaian bencana yang menimpa. Semuanya adalah berpunca daripada tangan-tangan rakus yang tidak hiraukan undang-undang dan hanya mengira soal untung.

Allah S.W.T berfirman dalam Surah Ar-Rum ayat 41:

- Advertisement -



ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”



Oleh itu, diucapkan tahniah kepada YAB Menteri Besar Pahang di atas ketegasan beliau dalam menangani sebarang isu yang berkait rapat dengan pencemaran alam sekitar dan penerokaan tanah secara haram yang banyak membawa mudarat kepada negeri Pahang khususnya.

ZURIDAN MOHD DAUD
ADUN Damak
Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang – HARAKAHDAILY 25/12/2019

- Advertisement -