Perbezaan dirai, hak kepercayaan dihormati

- Advertisement -

DEWAN Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sarawak mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Krismas kepada seluruh rakyat Sarawak yang menyambutnya. PAS sebagai Parti Islam mempunyai pendirian tetap antara perayaan dan kepercayaan yang selalu menjadi polemik sesetengah golongan ekstremis agama dan kepartian. PAS mendidik DHPP dengan teras Islam agar perjalanan DHPP dalam mengharungi dunia politik tempatan bertepatan dengan kehendak Tuhan dan bukannya naluri serta nafsu manusia. Namun segalanya adalah berteraskan ilmu dan kerana inilah Islam menyanjung golongan ilmuan.

DHPP di Sarawak menjadi jambatan untuk merapatkan jurang antara kaum dan agama agar negeri ini terus menikmati keharmonian serta kerukunan hidup. Sesuai dengan ajaran Islam untuk menghormati orang lain kerana itu adalah prinsip asas untuk hidup saling kenal mengenali. PAS Sarawak sendiri mengutamakan keharmonian dan bukannya kebencian. Kerana kebencian akan melucutkan hak setiap orang untuk saling kenal. DHPP mengajak rakyat negeri ini agar memahami pandangan Islam tentang perayaan dan kepercayaan. Islam tidak langsung melarang perayaan atau sambutan kerana ia adalah lumrah manusia yang mahu dirai, dicintai, dihargai dan saling menyayangi. Namun, Islam seperti juga agama lain mempunyai perbezaan kepercayaan atau disebut sebagai aqidah atau ikatan yang mengikat keimanan individu terhadap Allah. Oleh yang demikian umat Islam sebenarnya dilihat berbeza kerana mereka sedang mengamalkan apa yang diperintahkan oleh Allah. Disinilah kita semua termasuk yang bukan Islam harus memahami prinsip mereka kerana di sebalik semua perbezaan itu akan ada yang boleh menyatukan seperti perayaan.

DHPP mengambil pendekatan untuk meraikan semangat perayaan Krismas tersebut dan berharap jangan ada pihak yang menuduh orang Islam tidak mesra dan membenci yang bukan Islam hanya kerana mereka tidak bersama. Bagi rakyat Sarawak, kebersamaan merayakan perayaan itu telah wujud lama untuk mengekalkan keutuhan persahabatan. Namun, DHPP pula sebaliknya menolak Pluralisme dalam agama iaitu dengan mencampur adukkan semua agama atau membolehkan semua kepercayaan atau merangkumkan semua kepercayaan sebagai satu dan sama. Ini sudah tentu bertentangan dengan ajaran Islam malah bertentangan dengan semua agama. Di sinilah titik saling menghormati antara satu sama lain di mana sekiranya sesuatu itu tidak dibenarkan oleh agama lain, jangan cepat menuduh mereka rasis, membenci dan menolak kita.

Maka, di kesempatan ini sekali lagi kami DHPP Sarawak mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut perayaan Krismas kepada seluruh rakyat Sarawak yang beragama Kristian. Marilah kita sama-sama menjunjung prinsip perpaduan dalam masyarakat majmuk agar negeri kita tidak menjadi huru-hara seperti tempat lain yang selalu berlaku akibat gagal memahami dan menerima maklumat yang betul tentang suatu perkara. Semoga perayaan ini mengeratkan hubungan kekeluargaan dan Selamat Tahun Baru 2020 buat semua.


ACHAU MUJAH
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 25/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -