Krismas: Hipokrit Islamophobic cuba burukkan Muslim

- Advertisement -

KENAPA saya kongsikan penulisan sarjana Kristian, Dr James White yang mengatakan tidak masuk akal untuk mengharapkan Muslim mengucapkan Merry Christmas? Kenapa saya kongsikan status FBI yang tidak mengucapkan Merry Christmas tetapi sekadar Happy Holiday?

Saya secara peribadi menghormati pendapat Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti Perlis dan Asatizah lain yang mengharuskan ucapan Merry Christmas jikalau wujud keperluan.

Tetapi tujuan saya berkongsi status dari Dr James White dan FBI adalah untuk menunjukkan kepada golongan yang hipokrit Islamophobic yang menyerang Islam dan Muslim apabila ada Muslim yang enggan mengucapkan Merry Christmas kerana memilih pendapat Jumhur Ulamak Islam yang memahami Islam lebih baik dari kita semua!

Kenapa hanya Muslim yang dikritik dan diserang bertubi-tubi hanya kerana enggan mengucapkan Merry Christmas? Apakah golongan hipokrit ini berani mengkritik penganut Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang suci andai Muslim menjemput mereka ke majlis korban lembu pada Hari Raya Aidiladha dan mereka enggan hadir?

Pastinya yang akan dikritik bukannya penganut agama Hindu tetapi sekali lagi Muslim yang akan dikritik kerana tidak menghormati sensitiviti penganut Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang suci! Ya, Muslim juga yang akan dikritik. Kami sebagai Muslim pun tidak akan menjemput penganut Hindu turut serta dalam majlis korban kerana hormat sensitiviti mereka dan kami tidak akan mengkritik mereka.

Maka persoalan kepada golongan hipokrit anti Islam dan anti Muslim tetapi berlagak pandai hukum-hakam Islam, kenapa tidak pula menghormati sekelompok Muslim yang memilih untuk enggan mengucapkan Merry Christmas kerana memilih pandangan Jumhur Ulamak?

Kenapa golongan hipokrit ini tidak menghormati sensitiviti Muslim yang enggan ucap Merry Christmas kerana faham apa tujuan Krismas dan menganggap Jesus Christ sebagai Nabi bukannya anak tuhan sebagaimana yang dipercayai oleh Kristian?

Siapa yang ingin mengucapkan Merry Christmas kerana ada keperluan, saya secara peribadi tiada masalah. Persoalannya ialah kenapa pula golongan hipokrit memaksa Muslim yang enggan ucap Merry Christmas untuk mengucapkannya? Tahukah dengan anda berbuat demikian mahukan Muslim mengikuti cara anda, hari demi hari anda membukti kebenaran ayat al-Quran;

- Advertisement -



“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.””

(al-Baqarah: 120)



Siapa nak ucap kerana ada keperluan, silakan tetapi tak usahlah golongan Islamophobic memaksa kami yang memilih untuk mengikuti Jumhur Ulamak yang mengharamkannya;


“Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.”


(al-Kafirun: 1-6)



FIRDAUS WONG WAI HUNG
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) – HARAKAHDAILY 25/12/2019

- Advertisement -