Jawi: Polemik Dong Zong lukakan Melayu-Islam

- Advertisement -



“WAHAI umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

(al-Hujuraat: 13)

- Advertisement -



Dewan Pemuda PAS Kawasan Puchong (DPP Puchong) telah meneliti laporan media terkini menyebut mengenai penganjuran demonstrasi bantahan tulisan Jawi dan Khat anjuran Pertubuhan Dong Zong dan Jiao Zong yang bakal diadakan pada 28 Disember ini.

Tindakan ini mendapat tentangan dari pelbagai pihak termasuk NGO Muslim dan parti politik. Malah kita turut menyaksikan respons pelbagai dari beberapa kumpulan dalam laman media sosial sehingga beberapa laporan polis  dibuat atas penganjuran berunsur rasis dan tidak sah di sisi undang-undang.

Kenyataan berbaur kecaman turut dikeluarkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengenai penganjuran majlis ini sekali gus memohon pihak Polis Di Raja Malaysia serta Kementerian Dalam Negeri membatalkan pendaftaran pertubuhan pelampau ini dengan kadar segera sebelum keharmonian masyarakat antara kaum di negara ini tergugat rentetan demonstrasi yang bakal dianjurkan.

Polemik ini benar-benar mengguris hati masyarakat Melayu dan Islam di negara ini kerana mereka seolah-olah berani untuk menganjurkan demonstrasi bantahan secara umum yang mana secara terang berasaskan warisan turun temurun peradaban Melayu yang dominan di negara ini. Amatlah malang jika dilihat kembali kepada tujuan asal penubuhan negara bangsa Malaysia yang diasaskan oleh pemimpin terdahulu kini mengundang prasangka dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum serta menggugat keharmonian kaum yang telah dibina selama ini.

Justeru, dengan adanya kempen yang meluas ditambah lagi penyebaran kain-kain rentang di kebanyakan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan SRJK Cina di seluruh negeri seolah memperlihatkan betapa lemahnya penguatkuasaan undang-undang di negara ini yang mana telah termaktub di dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan Bahasa Kebangsaan di Malaysia ialah Bahasa Melayu.

Sehingga ke hari ini, dilihat pelbagai aktivis serta ahli politik Melayu telah turut secara terbuka memberi pandangan masing-masing tentang isu ini. Terbaru suatu sidang media khas telah diadakan oleh pendukung Gabungan Seni Khat Action Team, yang hari ini mengumumkan akan mengadakan kongres berasingan bagi menentang pengenalan pendidikan Jawi bagi sekolah Cina dan India.

Oleh itu, pihak DPP Puchong berharap agar polemik ini dapat diselesaikan dan ditangani dengan sebaik mungkin memandangkan tonggak kemakmuran di negara ini bakal terkubur sekiranya kesepaduan dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini tidak dapat dipertahankan dan akhirnya rakyat juga yang menjadi mangsa atas tindakan melampau pertubuhan haram ini menjelang 28 Disember ini nanti.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”
“Bangkit”
“Untukmu Malaysia”

MOHD ASHRUL HISYAM ABD JALIL
Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Puchong

Rujukan:

1.      Dong Zong biadap, pencetus kekacauan dan wajib diharamkan: https://m.facebook.com/IrKhairilNizam/photos/a.679786132065783/2945274272183613/?type=3


2.     Dong Jiao Zong Buat Hal Lagi: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2628722900542463&substory_index=0&id=507702059311235


3.     https://www.facebook.com/groups/1806266212955234/HARAKAHDAILY 25/12/2019

- Advertisement -