Imej suram Bandar Baharu Kertih berakhir

    - Advertisement -

    KEMAMAN: Bagaikan taman berhantu; dikelilingi perumahan terbengkalai, terbiar sehingga mengundang perasaan takut kepada mereka yang melalui kawasan itu, begitulah keadaan perumahan di Jalan Dulang, di Bandar Baharu Kertih, di sini.

    - Advertisement -

    Namun, imej suram itu akan berakhir apabila pihak kerajaan bersetuju memulihkan kembali keadaan tersebut di mana kerja-kerja  meroboh tapak rumah terbengkalai giat dilakukan, maklum ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.

    “Kerja-kerja meroboh tapak rumah teres terbengkalai sejak puluhan tahun itu sedang giat dilakukan dan dijangka siap pada Mac 2020 nanti.

    “Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan membangunkan Projek Bandar Baharu Kertih Fasa 2 di tapak tersebut.

    “Pada tahun 2020 nanti, pihak PMINT akan fokus kepada pembinaan 47 unit rumah teres satu tingkat dan 92 unit teres dua tingkat, yang dijangka siap pada tahun 2022,” ujar Ir Saiful.

    Beliau berkata demikian selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pemulihan Bandar Baharu Kertih, di Kertih, di sini semalam.

    Mesyuarat tersebut turut dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, PMINT, Wan Adnan Wan Derahman yang hadir bersama kumpulan pengurusan kanan beliau.

    Menurut Ir Saiful juga, sebuah Taman Rekreasi Awam berhampiran Bandar Baharu Kertih akan dibina dan kerja-kerja reka bentuk sedang dilakukan oleh Jabatan Landskap Negara.

    “Semak-samun di belakang bangunan perkedaian akan dibersihkan sehingga pemandangan luas Laut China Selatan dapat dilihat dari Bandar Baharu Kertih,” jelas beliau.

    Sementara itu menurut Wan Adnan, keperluan untuk menambah baik akses bagi laluan keluar masuk ke kawasan Bandar Baharu Kertih akan diberi keutamaan.

    “Ketiadaan ‘anchor tenant’ atau jenama perniagaan yang dikenali bagi menarik aktiviti ekonomi dan pengunjung perlu diberi perhatian.

    “PMINT bercadang membina 10 unit kiosk ‘food court’ pada tahun 2020 termasuk cadangan penyenggaraan dan keceriaan jalan, tempat letak kenderaan serta landskap untuk memastikan Bandar Baharu Kertih tidak lagi suram,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 25/12/2019

    - Advertisement -