Dong Jiao Zong anti nasional, mesti diharamkan

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mendesak pihak kerajaan agar mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang keduanya dikenali sebagai Dong Jiao Zong kerana tidak menghormati keputusan mahkamah pengajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil.

Dong Jiao Zong juga sangat biadab kerana telah membangkitkan suasana yang tegang dan kemarahan kalangan umat Islam khususnya apabila mengadakan petisyen bantahan serta merancang mengadakan kongres membantah tulisan Jawi yang dijadualkan berlangsung di Kolej New Era, Kajang pada Sabtu ini dengan matlamat kononnya untuk menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah Vernakular.

DUPP menegaskan bahawa tindakan yang layak dikenakan dalam isu ini hanyalah dengan mengharamkan pertubuhan Dong Jiao Zong tersebut kerana sikap mereka tidak sekadar rasis malah bersifat anti nasional kerana tidak mahu menghormati keputusan mahkamah, sistem pendidikan negara serta sejarah negara yang mempunyai hubung kait dengan tulisan dan Khat Jawi.

Tidak ada relevan lagi untuk dibiarkan Dong Jiao Zong untuk wujud memandangkan kewujudan mereka hanya akan menyebabkan kekecohan, kebiadaban dan ketegangan antara kaum. Demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk, segala perkara yang jelas membawa kepada kemudaratan dan kerosakan mestilah dihilangkan:

- Advertisement -



الضرر يزال

“Kemudaratan mesti dihilangkan”



DUPP mengajak semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk menolak pertubuhan Dong Jiao Zong yang melampaui dan idealoginya yang tidak menghormati semangat perpaduan kaum di negara Malaysia ini. Selagi mana Dong Jiao Zong ini diberi tempat di negara ini maka selagi itulah usaha ke arah perpaduan kaum di negara ini akan dilihat gagal.

Firman Allah S.W.T:



مُّحَمَّدࣱ رَّسُولُ ٱللَّهِۚ وَٱلَّذِینَ مَعَهُۥۤ أَشِدَّاۤءُ عَلَى ٱلۡكُفَّارِ رُحَمَاۤءُ بَیۡنَهُمۡۖ

“Nabi Muhammad (S.A.W) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam).”

(Al-Fath: 29)



Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh) – HARAKAHDAILY 25/12/2019

- Advertisement -