Skuad Prihatin santuni mangsa kebakaran, amilin PAS

- Advertisement -

BALING: Skuad Prihatin bersama Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam telah mengadakan Ziarah Prihatin menyantuni mangsa musibah kebakaran dan kemalangan, kelmarin.

- Advertisement -

Kunjungan kasih turut disertai ADUN Bayu, Abdul Nasir Idris ini adalah sempena Sambutan Hari OKU Antarabangsa 2019 Peringkat PAS Pusat yang terdahulu dilangsungkan di Darul Hadith, Kupang, di sini.

Rombongan Skuad Prihatin ini telah melawat mangsa kebakaran dalam kejadian yang telah memusnahkan lima rumah kediaman penduduk pada satu tragedi di Kampung Seberang Pekan, pada minggu lepas.

Mangsa yang diuji kesabaran oleh Allah S.W.T ini telah dikongsikan bebanan mereka oleh rombongan dengan sumbangan wang tunai, beras dan pelbagai keperluan dapur bagi setiap keluarga yang terlibat.

Sejurus itu, rombongan turut melawat amilin PAS, Noraina Mahmud yang ditimpa kemalangan jalan raya selepas pulang daripada mesyuarat parti pada awal November yang lepas.

Beliau merupakan Bendahari Muslimat PAS Kawasan Baling telah mengalami kecederaan di kepala dan lumpuh pada sebelah kanan badan akibat kemalangan dialami olehnya itu.

Kesan daripada itu, beliau telah mengalami hilang ingatan dan tidak dapat bercakap di mana Dr Rosni telah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Noraini bagi meringankan bebannya. – HARAKAHDAILY 24/12/2019

- Advertisement -