Segera bangkit lenyapkan agenda musuh – ‘Alimat

- Advertisement -

GOMBAK: Apabila pemerintah tidak menjalankan tanggungjawab mentadbir negara menurut Islam, maka berlaku ‘fitan’ yang menyaksikan rakyat dizalimi, timbulnya pelbagai masalah sosial dan keruntuhan akhlak masyarakat semakin rencam.

- Advertisement -

Kerosakan ini berlaku akibat kerajaan zalim telah berulang sejak berzaman meninggalkan Islam dalam pemerintahan sebagaimana diajar Nabi, serta jauh dari penghayatan Islam yang disyariatkan menerusi wahyu kepada para Anbiyak untuk sekalian umat.

Pengerusi Lajnah ‘Alimat dan Pembangunan Keluarga Ulamak PAS Pusat, Ustazah Ana Mastura Ismail mengemukakan peringatan tersebut dalam ucapan Ijtimak ‘Alimat Malaysia 2019 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini kelmarin dahulu.

Beliau mengajak para ‘alimat menghadapi kebejatan tersebut dengan bersedia untuk turun berjihad bagi melunaskan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.

“Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Haj ayat 78, marilah kita menjadi hamba pilihan Allah yang berjihad dengan sebenar-benar jihad dengan sama-sama menggembleng tenaga dalam satu saf bagi menegakkan syariat Allah di atas muka bumi.

“Sesungguhnya telah berlalu waktu rehat kita kerana manusia zaman kini sangat berhajat kepada dakwah Islam bagi mengatasi kemelut ancaman musuh yang tidak pernah berhenti menyusun strategi menghancurkan umat Islam.

“Keadaan ini jelas kelihatan berlaku di rata-rata negara umat Islam seperti yang berlaku di Rohingya, Uyghur, Palestin dan lain-lain lagi menyebabkan kita perlu segera bangkit mempertahan negara ini sebelum ia terkesan lebih parah di tangan musuh,” tegas beliau.

Ustazah Mastura menyebut peranan para Rasul iaitu mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliyah kepada cahaya Islam serta daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, adalah tugas yang sama terpundak di bahu umat akhir zaman.

Menurutnya, inilah yang menjadi asas kewajipan ribat dalam Gerakan Islam dan menyampaikan dakwah Islam kepada seluruh umat manusia demi menjamin kebahagiaan hidup mereka di dunia dan akhirat.

Ijtimak ‘Alimat Malaysia 2019 ini telah dirasmikan Ketua Ulamak PAS Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan telah mendapat sambutan penyertaan daripada seluruh Malaysia.

Antara lain pengisian Ijtimak kali ini ialah Forum ‘Alimat ‘Wanita Masa Kini Di Malaysia: Cabaran dan Penyelesaian’, serta pembentangan kertas kerja ‘PAS Ke Arah Menerajui Pemerintahan Negara: Cabaran Dan Persediaan’, oleh Naib Ketua Ulamak PAS Pusat, Ustaz Khirul Muntanazar Ismail. – HARAKAHDAILY 24/12/2019

- Advertisement -