PAS Pusat, Negeri iringi pemergian anggota AMAL

    - Advertisement -

    BUKIT GANTANG: Pimpinan PAS Pusat dan Negeri Perak mengutuskan ucapan takziah ke atas keluarga anggota Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Bukit Gantang, Allahyarham Muhammad Najib Muhamad Fakri yang kembali ke rahmatullah jam 1.50 pagi semalam.

    - Advertisement -

    Dalam perutusannya, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad merakamkan ucapan takziah PAS Pusat kepada keluarga Allahyarham Muhammad Najib dan berharap mereka bersabar di atas kehilangan kedua putera mereka.

    “Walaupun Najib dan Nabil insan biasa dan masih berusia muda, namun semangat tinggi mereka dalam gerak kerja Islam khususnya di dalam Jabatan Amal menjadi kebanggaan buat kita semua,” tambahnya.

    Mewakili PAS Negeri Perak, Pesuruhjayanya, Razman Zakaria melahirkan rasa sedih di atas kematian Allahyarham Muhammad Najib sambil menyifatkan ia suatu kehilangan yang besar bukan sahaja kepada keluarganya, tetapi kepada PAS Bukit Gantang dan Negeri.

    “Badan Perhubungan PAS Negeri Perak melahirkan rasa dukacita atas kehilangan kedua-dua insan yang sangat berjasa ini dan mendoakan agar rohnya tergolong di kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat keampunan dari Allah S.W.T,” tambahnya.

    Sementara itu, Ketua Pengarah AMAL Malaysia, Norazman Ishak mengucapkan takziah kepada keluarga pasangan kembar itu dan menyatakan hari ini merupakan hari yang menyedihkan buat pihaknya.

    “Ia suatu kehilangan yang besar buat kami dan pengorbanan kedua-dua wira yang tidak didendang ini akan tetap dikenang oleh kami di Jabatan Amal,” ujarnya.

    Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait menyifatkan pemergian Muhamad Najib merupakan kehilangan besar yang dirasai oleh Dewan Pemuda PAS Perak khususnya Jabatan Amal.

    Di dalam perutusan yang disiarkan di laman rasmi DPP Perak,  beliau menyatakan bahawa pemergian Allahyarham Muhammad Najib dan Muhammad Nabil menjadi suatu pengakhiran yang dicemburui oleh mereka yang menginginkan syahid.

    “Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan segala dosanya diampunkan oleh Allah.
    Pengakhiran hidupnya yang baik didoakan diterima oleh Allah sebagai syahid,” catatnya. – HARAKAHDAILY 24/12/2019

    - Advertisement -