Dong Zong: Dedah segera hasil siasatan

- Advertisement -

PAS konsisten dengan pendirian berkaitan isu-isu yang boleh menggugat keharmonian negara yang kita cintai.

- Advertisement -

Isu berkaitan pengganas LTTE, penyebaran ideologi Komunis dan abu mayat Chin Peng masih lagi belum reda.

Pada 22 Ogos lalu Pengerusi Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Tai Kim, dipanggil memberi keterangan berhubung siasatan dalam isu pengajaran tulisan Jawi di Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, memaklumkan kes Dong Zong disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan).

Siasatan ini dibuat susulan aduan diterima berkenaan kenyataan Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamed yang menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah satu bentuk Islamisasi.

Sudah cukup empat bulan Tan Tai Kim dipanggil memberi keterangan namun sehingga ke hari ini, masih belum ada sebarang pendakwaan.

Terkini, beliau terus menyatakan bantahan terhadap tulisan Jawi dan akan mengadakan Kongres Pertubuhan China pada 28 Disember 2019 walaupun sudah ditegur Perdana Menteri bahawa kongres ini boleh mencetuskan huru-hara dalam negara.

Dong Zong adalah pertubuhan yang bersifat keras, melampau dan tiada toleransi, malah sejarah juga pernah menyaksikan pemimpinnya dilucutkan kerakyatan satu ketika dulu. Pelajaran Jawi hendak diperkenalkan hanyalah tiga muka surat yang dimasukkan di dalam buku teks dan usaha kerajaan untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Perjuangan Dong Zong sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi sesuai dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

PAS berpandangan ketidaktegasan pihak berkuasa ke atas Dong Zong inilah yang menyebabkan ia semakin berani, seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan.

Oleh itu, kami mendesak supaya Ketua Polis Negara (KPN) mengumumkan hasil siasatan ke atas Dong Zong sekali gus memastikan ia membatalkan himpunan yang akan diadakan pada 28 Disember ini.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Muafakat Nasional, Membina Malaysia Sejahtera”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
23 Disember 2019 | 26 Rabiulakhir 1441 – HARAKAHDAILY 23/12/2019

- Advertisement -