PAS Pulau Pinang perkasa Jentera Pilihan Raya

    - Advertisement -

    KEPALA BATAS: Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Pulau Pinang telah melancarkan Institut Latihan Pilihan Raya PAS (ILPAS)  peringkat Negeri yang di Markaz PAS Pongsu Seribu, di sini semalam.

    - Advertisement -

    ILPAS menggariskan kertas dasar menerusi tujuh modul yang telah dibentangkan oleh tujuh jurulatih terlatih bagi memperkasakan Jentera Pilihan Raya PAS di semua peringkat.

    Majlis pelancaran ILPAS telah dihadiri oleh kepimpinan PAS Pulau Pinang serta Pengarah dan Setiausaha Jentera Parlimen serta Dun seluruh negeri Pulau Pinang.

    Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS Pulau Pinang dan ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Md Piah dan Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS Pulau Pinang, K Jayaraman.

    Pengarah ILPAS, Maziah Khamis menerangkan, fungsi ILPAS menyediakan latihan dan kursus kemahiran yang diperlukan oleh setiap kepimpinan dan jentera organisasi pilihan raya .

    ILPAS juga maklumnya, berusaha memastikan setiap petugas parti mendapat latihan khusus hingga mahir dalam gerak kerja berkaitan dan boleh melaksanakan tugas mereka secara lebih efektif bagi menghadapi PRU15.

    Pengarah Pilihan Raya PAS Pulau Pinang, Bukhori Ghazali pula berkata, kekuatan dan iltizam ditunjukkan oleh seluruh jentera perlu diubah kepada gerak kerja yang lebih bersepadu.

    Sementara itu, di dalam ucapan pelancaran ILPAS, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof menyeru agar budaya kerja bersistematik dan berstrategi diamalkan.

    Beliau turut menggesa pimpinan di semua peringkat menggerak dan memperkasakan jentera pilihan raya kawasan masing-masing sebagai persiapan menghadapi PRU 15. – HARAKAHDAILY 23/12/2019

    - Advertisement -