Munaqasyah suntik jihad ahli PAS Kuala Kangsar

- Advertisement -

KUALA KANGSAR: Lajnah Penerangan PAS Kawasan Kuala Kangsar telah melangsungkan program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS di Kompleks PAS Kuala Kangsar, di sini semalam.

- Advertisement -

Ia bertujuan untuk memberikan penerangan berhubung intipati Ucapan Dasar Presiden PAS yang telah dibentangkan dalam muktamar lalu di samping menyampaikan isu-isu semasa kepada ahli PAS.

Pembentangan kertas kerja Ucapan Dasar Presiden tersebut telah disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria kepada perwakilan dari seluruh PAS Cawangan dalam kawasan ini.

Beliau mengingatkan mengenai tanggungjawab taklifan yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh setiap pimpinan dan seluruh ahli PAS, selain pentingnya sikap wala’ dan thiqah yang wajib dijaga.

Dalam program tersebut juga, telah diadakan penerangan mengenai struktur organisasi Muafakat Nasional Parlimen Kuala Kangsar yang telah disampaikan Setiusaha PAS Kuala Kangsar, Mohd Saiful Mohd Dawam.

Kehadiran peserta yang memberangsangkan telah membuktikan bahawa semangat dan komitmen tinggi dari para pendukung PAS Kuala Kangsar dalam meneruskan agenda dan gerak kerja ke arah PRU15.

Turut hadir bersama, Naib Yang Dipertua PAS Kuala Kangsar, Mustafa Azmi dan Ketua Ulamak PAS Kuala Kangsar, Ustaz Asri Abdul Hamid serta Ketua Muslimat Kuala Kangsar, Ustazah Intan Norhani Bashir. – HARAKAHDAILY 23/12/2019

- Advertisement -