Mata wang bersama perkukuh negara umat Islam

- Advertisement -

PENGGUNAAN satu mata wang yang sama antara negara-negara umat Islam adalah amat strategik dalam memperkukuhkan keadaan negara-negara umat Islam sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada Barat dan pengaruh mereka ke atas negara-negara umat Islam ini terutamanya pada aspek ekonomi dan penguasaan wilayah.

Banyak faedah yang dapat diperoleh daripadanya antaranya ialah mengurangkan kos transaksi sekali gus meningkatkan perdagangan antara negara-negara umat Islam; menjadikan perbandingan harga barangan dan perkhidmatan lebih telus; dan menghapuskan ketidaktentuan kadar pertukaran mata wang yang dapat meningkatkan lagi keyakinan perniagaan terhadap pelaburan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

Manfaat besar yang bakal diperoleh oleh negara-negara umat Islam menerusi penggunaan mata wang yang sama inilah menyebabkan Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS) sering menghalanginya dengan pelbagai rintangan supaya ia tidak direalisasikan.

Cadangan yang pernah disuarakan Tun Mahathir sejak dahulu seperti yang dinyatakan semula oleh Presiden Hassan Rouhani pada KL Summit yang sejak awal penganjurannya mendapat perhatian dunia dan bantahan daripada pemimpin beberapa negara yang mesra AS, pasti tidak mudah untuk dilaksanakan.

Justeru, sama ada mata wang itu dalam bentuk kripto atau emas dan lain-lain; Malaysia, Turki, Iran dan Qatar terutamanya mesti serius dan konsisten mempelopori usaha ini. Kajian secara mendalam dan menyeluruh mengenainya mesti dilakukan segera melibatkan pelbagai aspek termasuk undang-undang domestik dan antarabangsa.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan

DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 23/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -