Kuasa politik perlu bagi daulatkan Islam

    - Advertisement -

    TAMBUN: Kuasa politik diperlukan bagi mendaulatkan syariat Allah S.W.T ke atas seluruh manusia agar tercapainya kesejahteraan Islam di samping menangani kemungkaran di dalam kehidupan.

    - Advertisement -

    Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi menegaskan bahawa itulah perjuangan PAS yang mesti setiap amilin parti berjihad bersungguh-sungguh realisasikan.

    “Bila kita ada kuasa baru kita boleh buat semua (perintah dengan Islam). Jika tak ada kuasa, kita hanya mampu bercakap sahaja. Kita nak ubah kemungkaran yang ada sekarang ini dengan tangan (kuasa).

    “Apabila kita dapat memerintah negeri Kelantan contohnya, tiada huru-hara atau penindasan berlaku di negeri dipimpin PAS. Inilah yang mahu kita bawakan dan telah kita buktikan, Islam adalah agama yang adil,” ujarnya.

    Beliau berucap demikian pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS Peringkat Kawasan Tambun yang telah diadakan di Pusat Tarbiyah PAS Tambun, Taman Meru, di sini kelmarin.

    Terangnya, politik matang dan sejahtera digagaskan PAS turut menampilkan politik dakwah amar makruf nahi mungkar sebagai kriteria utamanya yang menjadi jejantas untuk menghubungkan PAS dengan semua pihak.

    Nasihatnya lanjut, fokus utama PAS sebagai sebuah parti adalah berdakwah dan bukan hanya sekadar berpolitik semata-mata, tetapi berperanan memperkenalkan Islam kepada semua termasuk orang-orang bukan Islam.

    Terdahulu, Ketua Penerangan PAS Tambun, Ustaz Rosli Azizan menegaskan bahawa tiga tunjang utama PAS iaitu dakwah, tarbiyah dan siyasah serta sifatnya yang haraki sentiasa memerlukan panduan dari pimpinan supaya tidak melanggar thiqah dan wala’.

    Seramai lebih 180 peserta daripada seluruh PAS Cawangan dalam Kawasan Tambun hadir sebagai perwakilan mengikuti program tahunan ini. – HARAKAHDAILY 23/12/2019

    - Advertisement -