KL Summit: Lambang kebersamaan kita

- Advertisement -

AMEERAH Wilayah Persekutuan berkongsi rasa bangga dan gembira sebagai rakyat Malaysia sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 18 Disember 2019 dan melabuhkan tirai pada 21 Disember 2019.

Inisiatif dan tekad Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengalu-alukan delegasi dari 56 negara wajar diberi pujian dan merupakan satu langkah permulaan proaktif dalam menyatu-padukan umat Islam merentas mazhab dan lokaliti. Pelbagai isu dan krisis umat Islam yang tidak mendapat pembelaan dari pertubuhan antarabangsa yang diharapkan turut dibincangkan. Tidak ketinggalan potensi kerjasama ekonomi, perbankan, mata wang, teknologi, pendidikan dan alam sekitar diterokai bersama.

Contoh tauladan dan praktikaliti Budaya Politik Matang dan Sejahtera turut ditunjukkan oleh Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menyokong penganjuran sidang ini bahkan turut sama mempromosi dan mempertahankan penganjurannya sebagai lambang kebersamaan kita dalam isu umat Islam sedunia.

Saya berpandangan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 adalah langkah seiring dengan impian Almarhum Professor Necmettin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki yang melancarkan gagasan D8 suatu ketika dahulu. YB Dato’ Seri Presiden PAS turut berada sepentas bersama Almarhum di Istanbul, Turki pada 1996 bersama delegasi ulamak dari benua Eropah dan Asia bagi memperhalusi gagasan D8.

Hari ini kita menyaksikan impian itu kembali bersinar dengan inisiatif yang penuh rendah diri. Telitilah dengan halus apakah kesinambungan Gagasan D8 dan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur ini, bagi membela nasib umat Islam yang dibiarkan dibelasah dengan dahsyat di Xinjiang, Rohingya, Kashmir, Palestin dan belahan dunia umat Islam yang lain.

Semoga permulaan yang baik ini disusuli dengan pelbagai pertukaran teknologi, kerjasama ekonomi, politik dan pertahanan lantas mengangkat negara-negara umat Islam setanding negara maju lain. Kita punya banyak kelebihan dari segi kedudukan geografi, hasil pengeluaran, teknologi pertahanan, dan sumber manusia yang ramai. Semua ini wajar dimanfaatkan sebaiknya;

- Advertisement -



“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.

(Al-Kahfi:10)




Salam hormat,

‘ATIKAH ABDUL RAHMAN
Pengarah Ameerah Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 23/12/2019

- Advertisement -