Kerajaan PH tarik tali, pesawah derita

Isu benih, baja bantutkan penanaman musim baru

- Advertisement -

PAS Kedah mengikuti rapat kes padi benih dan baja yang belum selesai meskipun sudah masuk pertengahan musim baru untuk bersawah.

Ekoran itu, banyak rungutan golongan pesawah dibuat menerusi media cetak dan media sosial khasnya yang rata-rata mengaitkan kelemahan pengurusan di pihak berwajib.

PAS Kedah mendengar sendiri  segala rintihan ini menerusi satu Jawatankuasa Khas yang dibentuk di peringkat Negeri dan telah duduk mendengar secara rasmi pada pertengahan bulan lalu.

Kini timbul pula disifatkan permainan tarik tali antara dua Kementerian berkaitan yang Menteri-menterinya terdiri daripada tiga parti berlainan.

Seperti tersebar di dada akhbar dan media sosial di mana Menteri Pertanian, Datuk Salahudin Ayub berkata, “Jika Kementerian Kewangan segera beri wang, cepatlah pesawah dapat baja.”

Dalam satu jawapan balasnya pula, Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Amiruddin Hamzah berkata, “Tiada sebarang masalah di pihak Kementerian Kewangan, wang telah disalurkan seperti biasa. Cuma berlaku masalah agihan di peringkat Kementerian Pertanian.”

Membaca permainan tarik tali begini antara dua Kementerian ini, membangkitkan rasa derita di hati rakyat khususnya pesawah.

Menurut kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak 68,000 Petani MADA, Che Ani Mat Zain, setakat ini mereka hanya menerima baja sebanyak 20,000 beg sahaja. Terdapat baki 1,890,000 beg lagi yang belum mereka terima.

PAS Kedah memandang serius perkara ini kerana bagaimanakah dan sampai bilakan isu benih padi dan baja ini boleh diselesaikan jika masih berlarutan begini.

Tidak ada sebab untuk meneruskan permainan tarik tali ini kerana yang menderita bukan sahaja pesawah tersebut tetapi melibatkan nafkah harian keluarga dan persekolahan anak-anak apatah lagi bagi pesawah yang 100 peratus hanya berharap pendapatan mereka kepada hasil padi.

“Islam Memimpin Perpaduan”

Sekian, Terima Kasih

Salam Hormat,

USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 23/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -