‘Jenis manusia, tidak tahu berterima kasih’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang seolah tidak menghormati kebimbangan Perdana Menteri berhubung penganjuran kongres oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pada 28 Disember depan.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata persidangan tersebut antara telah diuar-uarkan adalah untuk menyatakan bantahan terhadap pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakukar sebagaimana keputusan kerajaan.

“Kenyataan itu menunjukkan mereka (DAP) tidak hormat kenyataan Perdana Menteri. Mentang-mentang mereka ada sedikit kuasa mereka boleh menentukan perjalanan negara pada hari ini.

“Mereka nak tunjuk mereka tidak perlu lagi menghormati keputusan seorang Perdana Menteri yang mereka sendiri lantik,” katanya kepada Harakahdaily.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kebimbangannya terhadap penganjuran tersebut boleh mencetuskan kekacauan dengan orang Melayu akan bertindak balas meminta sekolah-sekolah Cina ditutup.

Namun, kenyataan balas Lim mengatakan bahawa tiada asas untuk bimbang dengan penganjuran kongres itu sekiranya tiada unsur anti-Melayu atau anti-Perlembagaan.

Bagaimanapun Idris berkata, walaupun kongres itu tidak berkaitan dengan anti-Melayu dan sebagainya, tetapi tindakan yang dibuat oleh pihak Dong Zong itu memberi keresahan kepada orang Melayu terhadap penentangan mereka kepada tulisan Jawi.

Menurutnya, kenyataan Penasihat DAP itu seolah beliau tidak faham tindakan yang telah dibuat oleh pertubuhan itu selama ini banyak bertentangan dengan kontrak sosial.

Jelasnya, mereka sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana masih membenarkan kewujudan sekolah vernakular dengan menggunakan kurikulum mereka sendiri.

“Tiba-tiba disebabkan sedikit sahaja untuk memperkenalkan tulisan Jawi hanya dalam 3 muka surat di sekolah mereka, itu pun mereka hendak menentang.

“Sedangkan ia hanyalah tiada bersifat kaligrafi semata-mata, tiada langsung unsur agama atau unsur yang menjejaskan dari segi kurikulum teras mereka dan menggugat dari segi budaya dan pegangan mereka.

“Apa jenis manusia yang hendak apa lagi, tidak reti bersyukur dan berterima kasih, umpama beri betis nak paha,” tegasnya.

Kongres berkenaan dijadual diadakan di Kolej New Era di Kajang bagi menyuarakan bantahan terhadap ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan itu.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan telah menetapkan garis panduan dengan membenarkan ibu bapa membuat pilihan sama ada pengajaran itu boleh diperkenalkan atau tidak.

Pengajaran akan diteruskan jika lebih daripada separuh kalangan ibu bapa pelajar bersetuju untuk ia dilaksanakan di sekolah anak mereka.

Najun, Dong Zong tidak bersetuju dengan syarat itu kerana dilihat akan menimbulkan perselisihan dan menyebabkan ketidakharmonian antara ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah vernakular. – HARAKAHDAILY 23/12/2019

- Advertisement -