Bebaskan Pulau Pangkor dari arak

    Bukannya jadikan arak item bebas cukai di pulau itu

    - Advertisement -

    PARIT: Kerajaan Negeri Perak diingatkan agar tidak mempertaruhkan nilai keamanan dan kesejahteraan di Pulau Pangkor dengan keuntungan yang sedikit menerusi cadangan penjualan arak.

    - Advertisement -

    Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, tindakan tersebut sebenarnya membawa mudharat yang jauh lebih besar berbanding keuntungan bakal diperolehi.

    Beliau mengulas kenyataan Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing mengenai kemungkinan arak disenarai sebagai item jualan bebas cukai di Pulau Pangkor.

    “Nilai nyawa dan keamanan adalah lebih tinggi daripada nilai keuntungan materialistik penjualan arak. Arak terbukti menjadi antara musuh besar keamanan dan kesejahteraan penduduk sesebuah negara atau negeri.

    “Malah menyumbang kepada peningkatan statistik kemalangan jalan raya, punca pergaduhan dan keretakan rumah tangga, malah menjejaskan kualiti kesihatan.

    “Untuk mempromosi Pulau Pangkor sebagai hub pelancongan utama di negeri Perak, tumpuan perlu diberikan kepada peningkatan kualiti perkhidmatan dan infrastruktur.

    “Juga pemulihan dan pemeliharaan alam sekitar, serta mempromosikan Pulau Pangkor sebagai destinasi percutian yang mesra alam dan memberikan pulangan yang baik kepada setiap pengunjung,” aju beliau.

    Terdahulu, Kar Hing menyatakan, hanya arak belum disenarai sebagai item jualan bebas cukai di Pulau Pangkor, sedangkan lainnya sudah termasuk rokok. – HARAKAHDAILY 23/12/2019

    - Advertisement -