Mengkaji politik antarabangsa

Antara Sunnah yang terabai oleh umat masa kini

MENGIKUTI isu antarabangsa

(1)     Antara Sunnah Nabi S.A.W yang semakin diabaikan oleh umat Islam ialah mengikuti perkembangan antarabangsa. Sunnah ini biasanya tidak disedari oleh Umat Islam.

Lantas mereka mengabaikan Sunnah ini menyebabkan apabila munculnya satu satu isu antarabangsa Umat Islam kerap terjerat dengan permainan musuh.

(2)     Banyak tulisan-tulisan saya sebelum ini yang menceritakan jerat-jerat musuh yang memerangkap Umat Islam. Hatta Khilafah Uthmaniah pun tidak terlepas dengan jerat itu.

(3)     Di bahagian awal kitab ar-Rahiq al-Makhtum karangan Syeikh Sofiurrahman al-Mubarakfuri ada menceritakan tentang suasana geopolitik antarabangsa ketika zaman Baginda S.A.W.

Dunia ketika itu di ambang persaingan antara Rom dan Parsi. Kedua-duanya  merupakan kuasa besar dunia yang melalui siri-siri peperangan yang panjang.

(4)     Isu persaingan mereka diikuti perkembangannya oleh Baginda S.A.W dan para Sahabat R.A. Bahkan banyak isu Nabi S.A.W menceritakan tentang janji Allah bahawa Islam akan mengalahkan Rom dan Parsi.

a-     Antaranya dalam peristiwa penggalian parit sebelum Perang Khandaq ketika Umat Islam dihalangi oleh batu yang besar dan keras.

Ketika memecahkan batu tersebut, Baginda S.A.W menyebutkan tentang janji Allah yang bakal memberi kemenangan Islam terhadap Syam Parsi dan Yaman

b-     Antara yang lain ialah dialog antara Nabi S.A.W dan Adiy bin Abi Hatim at-To’iyy yang menggambarkan bahawa Islam akan menang sehingga orang perempuan boleh bermusafir dengan aman.

Rom VS Parsi

(1)     Syed Qutb menceritakan di awal surah Rom;

Advertisement

“Ayat-ayat pertama surah ini diturunkan kerana satu peristiwa yang tertentu, iaitu peristiwa orang-orang Parsi mengalahkan orang-orang Rom di beberapa negeri di Semenanjung tanah Arab yang terletak di bawah takluk mereka.


Peristiwa ini berlaku semasa berlakunya perdebatan hangat di antara angkatan pertama kaum Muslimin di Makkah sebelum hijrah, dengan kaum Musyrikin mengenai persoalan akidah.

Oleh kerana orang-orang Rom di waktu itu merupakan kaum ahli kitab yang beragama Kristian, sedangkan orang-orang Parsi merupakan kaum Musyrikin yang agama Majusi, maka kaum Musyrikin dari penduduk negeri Makkah mendapat peluang dari peristiwa ini untuk meninggi-ninggikan akidah syirik sebagai akidah yang mengatasi akidah tauhid, dan menjadikan peristiwa itu sebagai sempena yang baik iaitu kemenangan umat yang kafir di atas umat yang beriman.

Justeru itu, ayat-ayat pertama surah ini diturunkan untuk menyampaikan berita gembira bahawa kaum ahli kitab dari negeri Rom akan mendapat kemenangan di dalam beberapa tahun lagi dan kemenangan ini akan menggembirakan sekalian orang yang beriman yang sukakan kemenangan umat yang beriman dari segala agama”

(2)     Bahkan ketika Baginda S..A.W hidup lagi, telah berhadapan dengan peperangan dengan Rom, antaranya Tabuk dan Hunain. Bahkan dalam siri peperangan ini, Nabi S.A.W mengajar kita mengkaji kekuatan musuh.

Maka, Baginda S.A.W mengkaji kekuatan tentera Rom yang bakal dihadapi. Menyusun strategi, dengan berbekalkan keimanan yang kuat tentang janji kemenangan.

Suasana politik Habsyah

(1)     Antara yang perlu kita fahami bagaimana Nabi S.A.W menyuruh Umat Islam untuk berhijrah ke Habsyah. Hijrah ke Habsyah berlaku dua kali.

a-     Kali pertama melibatkan 10 lelaki dan 5 perempuan pada tahun kelima kenabian Nabi S.A.W. Setelah 3 bulan menetap di sana, mereka pulang ke Makkah.

Nabi S.A.W melihat bagaimana situasi politik di Habsyah dan kesesuaiannya untuk menjadi tempat perlindungan buat Umat Islam yang ditekan di Makkah.

b-     Dua tahun kemudiannya, Nabi S.A.W mengarahkan seramai 101 orang Sahabat Baginda S.A.W untuk berhijrah ke Habsyah untuk mendapatkan perlindungan di sana.

Ini menunjukkan Nabi S.A.W seorang yang mengkaji suasana politik Habsyah. Tidak semberono untuk keluar dari Makkah, bahkan sarat dengan perancangan dan strategi.

(2)     Habsyah merupakan sebuah negara yang sesuai untuk perkembangan Islam, sepertimana Sabda Baginda S.A.W;



إنَّ بأرض الحبشة مَلِكاً لا يُظلَم أحدٌ عنده، فالحقوا ببلادِهِ حتّى يجعلَ اللهُ لكُمْ فرَجاً ومخرَجاً ممّا أنتُمْ فيه

“Sesungguhnya di Habsyah ada seorang Raja yang tidak menzalimi sesiapa. Maka pergilah ke negaranya sehingga Allah S.W.T buka jalan terhadap apa yang sedang kita hadapi.”



Yahudi dan Nasrani

(1)     Sepertimana yang kita ketahui, wahyu Allah S.W.T turut menceritakan tentang suasana politik zaman Baginda S.A.W. Antaranya di awal surah Rom menceritakan kemenangan Rom mengatasi Parsi.

(2)     Antara yang lain Allah S.W.T berfirman;



۞ لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَ ٰ⁠وَةࣰ لِّلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱلۡیَهُودَ وَٱلَّذِینَ أَشۡرَكُوا۟ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقۡرَبَهُم مَّوَدَّةࣰ لِّلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِینَ قَالُوۤا۟ إِنَّا نَصَـٰرَىٰۚ ذَ ٰ⁠لِكَ بِأَنَّ مِنۡهُمۡ قِسِّیسِینَ وَرُهۡبَانࣰا وَأَنَّهُمۡ لَا یَسۡتَكۡبِرُونَ

“Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.”

(al-Maidah: 82)



Ayat ini diturunkan bagi menceritakan tentang situasi politik Habsyah yang sesuai untuk sebaran Islam. Ini menunjukkan al-Quran turut memberi panduan tentang latar belakang global.


(2)     Antaranya Allah S.W.T menceritakan sikap orang Yahudi dan Nasrani yang melatari dunia politik. Antara poin utama sikap mereka ialah;


وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡیَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu).”

(al-Baqarah: 120)



Ayat ini jelas menjadi poin penting yang memberi kesan terhadap rentak politik zaman Nabi S.A.W hinggalah sekarang. Menggambarkan bagaimana al-Quran berbicara tentang isu antarabangsa.

Al-Quran melatari isu antarabangsa

(1)     Semasa zaman Nabi S.A.W dan juga Khilafah Islamiah, masing-masing berhadapan dengan golongan munafik yang rata-rata merupakan orang Yahudi.

Antaranya dalam peristiwa Perang Tabuk, mereka merancang untuk membunuh Baginda S.A.W, namun tak berjaya. Bahkan para khalifah selepas itu menerima nasib yang sama.

a-     Masing-masing berhadapan dengan jenayah Yahudi. Termasuk peristiwa konflik dalaman di era Uthmaniah, Saidina Ali, Saidina Mu’wiyah dan begitulah berikutnya.

b-     Masing-masing berhadapan dengan suasana penyusupan orang Yahudi, yang memainkan peranan untuk melaga-lagakan sesama Umat Islam.

(2)     Hari ini orang Yahudi dalam perancangan membina empayar Israel Raya. Theodor Hertzel membawa tajdid baru bagi Yahudi sehingga terbinanya group Zionis

Idea beliau diterjemahkan melalui bukunya yang diterbitkan pada 1896. Semasa zaman beliau Yahudi telah menjadikan British sebagai proksi.

British ketika itu merupakan kuasa besar dunia, iaitu antara 1815-1915. Seterusnya Yahudi menggunakan Amerika sebagai proksi setelah munculnya Pax Americana sejak 1945 hingga sekarang.

(3)     Manakala Kristian sudah terpecah. Dahulunya Byzantium dikuasai oleh Katholik. Kemudian di zaman pertengahan berubah kepada Protestan.

Hari ini Ortodok berada di Rusia. Situasi situasi ini menggambarkan bagaimana geopolitik antarabangsa yang dilatari oleh al-Quran. – HARAKAHDAILY 22/12/2019