Liberalism: Tuntut hak sendiri, langgar hak orang

- Advertisement -

SEJARAH ringkas

(1)     Hari ini Umat Islam diserang dengan idealogi Liberalism yang berasaskan kebebasan atau lebih mudah difahami sebagai keliaran. Idealogi ini berangkaian dengan beberapa idealogi lagi.

Antaranya Kapitalism, Existentialism, Feminisme, dan lain-lain. Semuanya bertunjang kepada bebas atau liar. Masing-masing mempunyai sejarahnya tersendiri.

a-     Contohnya Kapitalism mula muncul era 17-an ketika Barat mengalami keruncingan ekonomi disebabkan peperangan yang berpanjangan.

b-     Existentialism pula muncul di era moden  yang bermula dengan Kierkegard (1813-1855) yang berangkaian juga dengan Humanism (kebebasan peribadi).

c-     Feminisme mengajak kepada pembebasan golongan wanita, Sekularism pula membebaskan politik daripada ikatan agama. Kelihatan Sekularism pun berangkaian sama dengan Liberalism.

(2)     Masing-masing mendakwa bahawa manusia perlu dibebaskan daripada sebarang ikatan. Ini kerana di era kegelapan, Barat sudah fobia dengan ikatan agama.

Disebabkan ikatan dan kongkongan agama Kristian terlalu dahsyat, bangkitnya Martin Luther cuba memperbaiki Kristian kepada hakikatnya yang sebenar.

(3)     Sekularism yang diperkenalkan oleh Jacob Holyoake mengambil sikap terus menolak konsep agama. Begitu juga Atheisme dan Komunisme yang menganggap agama itu candu.

Sugarbook: Bebas atau liar?

(1)     Existentialism mengatakan bahawa tindakan yang dirasakan bagus, ia adalah tindakan yang baik. Sekiranya seseorang itu merasakan berak di jalanan itu bagus, maka ia adalah tindakan yang baik.

Sekalipun tindakan itu menyusahkan orang dan kelihatan sengal. Konsep ini menjadi mukadimah kepada Humanism. Merasakan sesiapa saja berhak melakukan apa sahaja.

(2)     Demikianlah sepertimana yang dihujahkan oleh pengasas Sugarbook. Katanya ‘Kami bimbang desakan ini akan menjejaskan kebebasan dan pilihan rakyat Malaysia’

Ini merupakan bentuk-bentuk fahaman yang berangkaian dengan Liberalism – Existentialism – Humanism – Individualism dan yang sewaktu dengannya.

(3)     Berhujah atas nama kebebasan dan hak sekalipun melanggar norma kehidupan manusia. Bahasa yang mudah faham ia adalah bentuk yang boleh membuka pintu pelacuran.

Seolah-olah pintu kepada pelacuran itu terbuka luas dengan aplikasi ini. Hakikatnya ia adalah satu ruang untuk menjadikan masyarakat itu lebih liar.

(4)     Selama ini apa yang terkongkongnya di Malaysia sehingga terpaksa perkenalkan kebebasan seperti ini? Adakah di Malaysia menyekat perkahwinan bagi golongan tua?

Aplikasi ini dilihat merendah rendahkan maruah kaum wanita. Seperti memilih barangan secara online untuk dibeli. Mana suara Feminis yang katanya memperjuangkan hak wanita?

Liberal bermuka muka

(1)     Golongan Liberal bersikap bermuka muka dalam banyak perkara.

a-     Mereka perjuangkan kebebasan wanita berpakaian, tetapi mereka menyindir wanita yang bertudung labuh.

b-     Mereka perjuangkan kebebasan hubungan seksual, tetapi mereka menolak poligami.

c-     Mereka perjuangkan kebebasan bersuara, tetapi mereka menentang Islam untuk beramal dengan agamanya.

d-      Mereka mengadakan kempen pegang anjing dan babi, tetapi apabila ada orang Islam yang geli memegangnya, mereka kata kolot.

(2)     Tetapi mereka dakwa mereka tidak hipokrit. Mereka kata mereka ada hak untuk Transgender. Tetapi mereka langgar hak orang lain dalam bertandas.

Mereka kata mereka ada hak untuk berLGBT, tetapi mereka langgar hak komuniti masyarakat yang normal. Mereka hanya kira hak mereka sahaja, tidak kira hak orang lain.

(3)     Nabi S.A.W bersabda;

- Advertisement -



إنَّ لربِّكَ عليك حقًّا، وإنَّ لِنَفسكَ عليك حقًّا، ولأهلك عليك حقًّا، فأعْطِ كلَّ ذي حقٍّ حقَّهُ

”Sesungguhnya pada Rabb-mu ada hak yang harus anda tunaikan, dan pada dirimu ada hak yang harus anda tunaikan, dan pada diri keluargamu ada hak yang harus anda tunaikan, maka berilah setiap bagian akan haknya”



Hadis ini menggambarkan bagaimana Baginda S.A.W berbicara tentang hak. Setiap bahagian ada haknya. Tak logik seseorang itu boleh dakwa hak peribadi sehingga langgar hak orang lain.

Kepincangan Kapitalis

(1)     Kapitalis adalah sistem ekonomi yang berasaskan Liberal. Iaitu sesiapa sahaja bebas berniaga apa sahaja. Tiada larangan dan tiada undang-undang.

Adam Smith mengasaskan Kapitalism telah didapati meruntuhkan komuniti masyarakat demikianlah yang disifatkan oleh Karl Marx, sehingga beliau menggagaskan Sosialism.

Ini kerana pada zaman itu, para pemodal (capital) tidak lagi menggunakan tenaga lelaki untuk buat kerja. Akan tetapi menggunakan tenaga perempuan dan kanak-kanak.

Sebabnya ialah, kos upah lebih rendah. Akhirnya Kapitalis menyebabkan jahanamnya sistem masyarakat. Apabila ditanya kepada pemodal-pemodal itu, mereka menjawab ‘Ini modal kami, kami bebas berbisnes cara kami’.

(2)     Ini contoh Liberal dalam ekonomi. Hari ini Amerika yang merupakan bapa Kapitalism sendiri melarang perniagaan dadah di negaranya.

Pada Julai 2019, Raja dadah Mexico, Joaquin ‘El Chapo’ Guzman dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di sini, semalam, atas pelbagai kesalahan jenayah antaranya dadah.

(3)     Kalau benar-benar amalkan Liberalism atau Kapitalism, kenapa tidak biarkan sahaja Joaquin bebas menyeludup dadah? Itukan hak dia? Dia punya duit, suka hati dia lah.

Fikirkan logik. Sebab itulah Kapitalis yang bertunjangkan Liberalism ini mesti ditolak kerana menjahanamkan masyarakat. Masing-masing akan perjuangkan hak masing-masing, sedangkan tidak fikir hak orang lain.

Menyangkal kepincangan hak

Di zaman Nabi S.A.W ada seseorang yang memohon kepada Baginda S.A.W untuk diberi kebebasan berzina. Mungkin merasakan dia ada hak terhadap perbuatan itu.

(1)     Diriwayatkan oleh Abu Umamah R.A, beliau berkata:

Sesungguhnya seorang pemuda bertemu Nabi S.A.W lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Izinkan aku untuk berzina.”

Orang-orang lain datang lalu melarangnya, mereka berkata: “Jangan, jangan.”

Rasulullah S.A.W bersabda: “Mari sini”.

(2)     Dia mendekat lalu duduk berhampiran, Rasulullah S.A.W bersabda: “Adakah kamu suka berzina dengan ibu kamu?”

Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, semoga Allah menjadikanku sebagai penebus tuan.

Nabi S.A.W bersabda: “Orang-orang lain juga tidak menyukai kamu berzina dengan ibu-ibu mereka.”

(3)     Rasulullah S.A.W bersabda lagi: “Apa kamu suka berzina dengan anak perempuan kamu?”

Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, semoga Allah menjadikanku sebagai penebus tuan.”

Nabi S.A.W bersabda: “Orang-orang lain juga tidak menyukai kamu berzina dengan anak-anak perempuan mereka.”

(4)     Rasulullah S.A.W bersabda: “Apa kamu menyukai berzina dengan makcikmu dari sebelah ayah?”

Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, semoga Allah menjadikanku sebagai penebus tuan.”

Nabi S.A.W bersabda: “Orang-orang lain juga tidak menyukai kamu berzina dengan makcik-makcik mereka.”

(5)     Rasulullah S.A.W bersabda: “Apa kamu menyukai berzina dengan makcikmu dari sebelah ibu?”

Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, semoga Allah menjadikanku sebagai penebus tuan.”

Nabi S.A.W bersabda: “Orang-orang lain juga tidak menyukai kamu berzina dengan makcik-makcik mereka.”

(6)     Kemudian Baginda S.A.W meletakkan tangan  pada pemuda itu dan berdoa: “Ya Allah! Ampunilah dosanya, bersihkan hatinya, jagalah kemaluannya.”

Setelah itu pemuda itu tidak pernah meminta apa apa.


Jadi, apa logik kewajaran untuk bebas berzina atau bebas melacur? Apa haknya untuk bebas sepertimana ajaran Liberalis? Fikirkan. – HARAKAHDAILY 22/12/2019

- Advertisement -