Kongres Pertubuhan China: Perlu dibatalkan

Elak rusuhan seperti kes Kuil Sri Maha Mariamman

- Advertisement -

KERAJAAN Malaysia adalah sebuah kerajaan yang berdaulat yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang dilantik secara sah oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri telah menyebut Kongres Pertubuhan China anjuran Dong Jiao Zong di Kajang pada 28 Disember ini akan mendatangkan huru hara.

Perdana Menteri juga telah menyebut Dong Zong sebuah pertubuhan rasis yang tidak memikirkan kepentingan negara hanya kepentingan kaum Cina.

Begitupun, walaupun Perdana Menteri telah melarangnya, Dong Zong dan Jiao Zong masih berkeras untuk menganjurkan Kongres Pertubuhan China.

Seperti dalam isu rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Dong Zong dan Jiao Zong berani kerana mereka melihat pemimpin kerajaan menyokong mereka.

Tidak perlu dibisingkan sokongan pemimpin MCA dan GERAKAN kerana sokongan mereka pembangkang yang tidak berkuasa tidak memberi impak.

Yang perlu dibimbangkan adalah sokongan pemimpin kerajaan seperti Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial serta Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Perdana Menteri perlu mengambil tindakan bagi memastikan tiada pemimpin kerajaan khususnya Menteri yang berani tidak bertindak selari dengan beliau.

Polis perlu mengambil langkah segera membatalkan Kongres Pertubuhan China bagi mengelakkan insiden seperti di kuil Sri Maha Mariamman berulang.

Menteri Dalam Negeri juga perlu mengambil langkah segera membatalkan pendaftaran Dong Zong dan Jiao Zong di bawah Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan.

Cukup sudah kita melihat pengkhianatan Dong Zong dan Jiao Zong kepada negara sejak merdeka seperti:
(1)     Menentang Ordinan Pelajaran 1957.
(2)     Menentang Penyata Rahman Talib 1960.
(3)     Menentang Akta Pelajaran 1961,
(4)     Mengetuai Gerakan Universiti Merdeka 1968 dan 1969,
(5)     Menentang arahan membatalkan UEC pada 1975,
(6)     Menentang Dasar Kebudayaan Negara pada 1983,
(7)    Menentang Rancangan Sekolah Integrasi pada 1985,
(8)      Menentang lantikan guru tidak berbahasa Cina pada 1987,
(9)     Menentang Rancangan Sekolah Wawasan pada 2000, dan terbaru,
(10)    Menentang Pengajaran Tulisan Jawi di SJK pada 2019.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 22/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -