Bekas tentera kecam usaha hidupkan Komunis

- Advertisement -

TAIPING: Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (KERABAT) Negeri Perak mengecam tindakan pihak-pihak tertentu yang berusaha mengiktiraf dan menghidupkan kembali perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) di negara ini.

- Advertisement -

Pengerusi KERABAT Perak, Hamidun Ahmad berkata, tindakan mereka meraikan bekas ahli-ahli PKM dalam satu majlis makan malam di Selangor awal bulan ini jelas satu usaha mengiktiraf dan mempromosikan perjuangan ganas Komunis di tanah air.

Bidas beliau, keraian tersebut sekali gus mengguris luka di hati para anggota tentera dan polis yang berjuang bermati-matian sehingga mengorbankan nyawa demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara ini sepanjang waktu.

“Membawa pulang abu mayat mendiang Chin Peng bagaikan mahu mencabar kesabaran rakyat Malaysia yang cintakan keamanan yang dikecapi selama ini hasil pengorbanan besar para perajurit menentang Komunis di perbatasan negara.

“Kami dari KERABAT Perak menentang sekeras-kerasnya usaha jahat untuk menyebar dan menyuburkan kembali idealogi Komunis di negara ini dan mereka harus sedar Malaysia adalah sebuah negara demokrasi.

“Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Fahaman Komunis tiada tempat di negara ini,” tegasnya ketika dihubungi selepas membuat laporan polis berkenaan isu ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, di sini kelmarin.

Turut hadir membuat laporan polis berkenaan ialah Pengerusi KERABAT Kawasan Taiping, Sudin Mohamad Ali dan Pengerusi KERABAT Kawasan Bukit Gantang, Abdul Rahman Hatim serta Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman.

Mereka turut diiringi kira-kira 30 ahli KERABAT Kawasan Taiping dan Bukit Gantang di mana terdahulu sebelum itu, KERABAT Perak turut menganjurkan perhimpunan aman “Singkir Idealogi Komunis” di perkarangan Masjid Kamunting seusai solat Jumaat.

Turut diadakan program Pentas Patriotik yang mengetengahkan mengenai isu Perjanjian Kontrak Sosial dan slot perkongsian pengalaman veteran perang menentang pengganas Komunis.

Manakala di sebelah malam pula, berlangsung Ceramah Perdana bertajuk “Usaha Singkir Idealogi Komunis” atau USIK di perkarangan Markaz PAS Taman Desa Jana, Kamunting yang menampilkan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Haji Ahmad.

Juga Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Presiden KERABAT Malaysia, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan mantan Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Dato’ Mohd Najmi Ahmad. – HARAKAHDAILY 22/12/2019

- Advertisement -