Awasi agenda Evangelist, Komunis didalangi politikus

    - Advertisement -

    PASIR SALAK: Evangelist dan Komunis yang sedang menyusup dalam negara ketika ini bukan sahaja cuba berdiri atas perkauman, tetapi sebenarnya gerakan radikal untuk menghancurkan agama, bangsa dan negara.

    - Advertisement -

    Ketua Muslimat PAS Kawasan Pasir Salak, Jamaliah Sudin mengingatkan, gerakan ini mempunyai agenda sulit yang didalangi politikus tertentu dan menghasut kaum tertentu untuk bersikap melampau dan biadab.

    Terutama menurutnya, terhadap setiap perkara berkaitan Islam dan umatnya di mana bukan sahaja dipinggirkan, malah turut dimusuhi dan dizalimi sebagaimana sedang berlaku ke atas etnik Uyghur di Xinjiang, China.

    Perkara tersebut dinyatakan beliau dalam ucapannya pada program bulanan Majlis Munajat Perpaduan Muslimat PAS Pasir Salak yang dilangsungkan di Seberang Perak, di sini baru-baru ini.

    Tegasnya, mereka yang mengikut gerakan radikal Evangelist dan pengganas Komunis mesti diragui kerana golongan ini tidak mengikut peraturan hidup sebagaimana kepercayaan sebenar agama dianuti mereka.

    Malah kata Jamaliah, dalang mereka di dalam politik menggerakkan agenda dengan bertindak melemahkan orang Melayu-Islam antaranya dengan mengurangkan peruntukan ekonomi Bumiputera, sedangkan ketika sama melebihkan satu kaum lain.

    Beliau mengemukakan contoh sekolah atau institusi pendidikan yang telah cukup kaya dan mempunyai fasiliti mewah tetapi disalurkan dana, tidak sebagaimana nasib sekolah-sekolah aliran kebangsaan.

    Tegasnya, sebagai ahli masyarakat, perlu membantu menegakkan kebenaran dan hak terutamanya dan menyebarkan kebenaran Islam dan hak orang Islam.

    “Bukanlah masanya kita hanya melihat dan mengkritik dan saling tidak percayai mempercayai kerana ia hanya bakal merugikan Islam. Bila kita bantu agama Allah, Allah akan meneguhkan kedudukan kita.

    “Kita tak suka perkara yang berlaku di sekeliling kita, jangan kita hanya mengaduh, dengan bertanyakan apa yang nak jadi dunia hari ini, tapi kita tidak berbuat apa dan bertindak untuk menjadikan perkara yang kita nak jadikan.

    “Muafakat Nasional telah terbentuk sekarang yang sebaiknya Wanita Umno dan Muslimat PAS berganding bahu dan tidak membiarkan permasalahan yang ada kini tanpa bertindak memperbaikinya,” nasihatnya.

    Beliau turut menyeru semua ahli Wanita Umno dan Muslimat PAS sama-sama berganding bahu dalam berkerja dan menyumbangkan idea dalam menuju PRU15.

    “Jangan sampai nanti bila mana PH menang lagi, anak cucu kita hilang segala hak dan agama kita tak mampu lagi kita pertahankan. Di waktu itu kita menyesal kerana tidak bertindak sekarang,” peringatnya lagi. – HARAKAHDAILY 22/12/2019

    - Advertisement -