Parit sempit datangkan musibah buat penduduk

    - Advertisement -

    TAMBUN: Saluran utama pengaliran air longkang yang sempit dan kecil menjadi punca utama air masuk ke dalam rumah apabila hujan lebat turun terutamanya pada musim hujan kini di Taman Hiburan, di sini.

    - Advertisement -

    Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said berkata, masalah itu diadu kepadanya oleh salah seorang penduduk, Mohd Kamal Putih semasa beliau hadir melihat lokasi kejadian, baru-baru ini.

    “Hujan lebat menyebabkan beberapa buah rumah di taman perumahan ini dinaiki air. Beberapa barangan seperti perabot di dalam rumah terpaksa dialih segera bagi mengelakkan kerosakan akibat air yang masuk ke ruang rumah,” adunya ringkas.

    Tambahnya, air tersebut didapati memasuki rumah beliau melalui saluran bilik air akibat longkang utama di kawasan perumahan itu yang kecil dan tidak mampu menampung air yang banyak.

    Ustaz Salleh Said di dalam tinjauannya bersama pimpinan PAS Cawangan Taman Hiburan berharap agar pihak berkuasa dapat menyediakan pelan komprehensif untuk menyelesaikan kekangan ini dengan segera bagi mengelakkan masalah ini kian meruncing.

    “Bagi mengatasi masalah ini pihak berkuasa perlu segera meningkatkan kerja-kerja penyelenggaraan longkang dan sistem perparitan di taman perumahan ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/12/2019

    - Advertisement -