Memahami pergolakan di Libya

- Advertisement -

APABILA disebut negara Libya, umumnya umat Islam mengingati nama As-Syahid Umar Al-Mukhtar seorang pejuang Islam yang memimpin umat Islam Libya menentang penjajah Itali pada era Perang Dunia Pertama. Pada masa itu, Dunia Islam berada pada zaman kelemahan dengan kebangkitan kuasa-kuasa imperealis Barat yang bersekongkol menjarah Dunia Islam walaupun mereka berbeza ideologi antara satu sama lain.

- Advertisement -

Libya sebelum Perang Dunia Pertama diperintah oleh Keluarga Sennusi bermula dari tahun 1859 sehingga 1969 apabila Sidi Muhammad Idris Al Mahdi Senussi atau Raja Idris ditumpaskan dalam rampasan kuasa oleh Muammar Gadaffi pada 1 September 1969 ketika Raja Idris sedang menerima rawatan di Turki. Ketika zaman pemerintahan Keluarga Senussi, Libya berada di bawah naungan Khilafah Othmaniah yang berpusat di Turki.

Ketika zaman pemerintahan Ahmed Sharif Senussi, Almarhum Umar Al Mukhtar yang dikenali sebagai Lion Of The Desert oleh kuasa imperealis Barat menentang kuasa – kuasa besar tersebut daripada menjajah Libya samada British, Itali mahupun Perancis. Sebagai orang kepercayaan dan jeneral kepada Ahmed Sharif Senussi, Almarhum Umar Al Mukhtar juga adalah ketua puak di timur Libya yang berpusat di Shahhat, sebuah bandar di daerah Jabal Al Akhdar.

Almarhum Umar Al-Mukhtar akhinya berjaya ditangkap tentera Itali di Suluntah, sebuah bandar di timur laut Libya dan dihukum gantung pada tahun 1931.

Kedudukan Libya Dalam Dunia Islam

Kedudukan Libya di Dunia Islam sangat penting kerana kekayaan hasil buminya dan kedudukan geografinya yang berkongsi sempadan di Laut Mediteranean dengan negara-negara Eropah. Justeru ianya menjadi rebutan oleh kuasa-kuasa imperialis Barat sejak dari zaman Empayar Rom sehingga ke saat ini. Ketika berlakunya Perang Dunia Pertama, Libya menjadi sasaran Itali yang bersempadan dengannya di Laut Mediterranean.

Perang di antara Itali dan Khilafah Othamaniah yang berlangsung dari 29 September 1911 sehingga 18 Oktober 1912 menyaksikan Libya telah berjaya ditawan oleh Itali.

Libya Era Muammar Qaddafi

Muammar Qaddafi mengambil alih tampuk pemerintahan Libya setelah berjaya menggulingkan pemerintahan Raja Idris dari keluarga Senussi pada 1 September 1969. Semenjak mengambil alih pemerintahan Libya dan menjadikan Libya sebuah republik, Muammar Qaddafi memerintah Libya secara autoritarian dan menjadi seorang pemerintah kuku besi.

Rakyat Libya yang pada mulanya menyokong beliau namun kemudian bangkit menentangnya hingga ke akhir hayatnya.

Dalam tempoh pemerintahannya ribuan aktivis politik yang dipenjarakan dan ramai yang melarikan diri ke luar negara. Pada zamannya Libya menjadi sasaran Amerika Syarikat kerana kedegilannya enggan mengikut telunjuk Amerika Syarikat. Ketika zaman pemerintahan Raja Idris, Amerika Syarikat telah menyokong kemerdekaan Libya di persidangan PBB pada tahun 1951 dan hubungan kedua – dua negara menjadi rapat. Amerika Syarikat juga telah menempatkan pengkalan tentera udara mereka di Libya.

Namun pada tahun 1959, minyak telah dijumpai di Libya dan Amerika Syarikat memainkan peranan penting dalam mempelopori carigali minyak di Libya. Syarikat – syarikat minyak Amerika Syarikat berpusu – pusu melabur di Libya dan menjadikan Libya sebuah negara yang strategik bagi keperluan minyak Amerika Syarikat. Namun ia berubah setelah Muammar Gadaffi mengambil alih tampuk pemerintahan Libya.

Muammar Gadaffi telah membatalkan lesen dan menghalang syarikat Amerika Syarikat daripada meneruskan operasi carigali minyak mereka dengan menubuhkan syarikat milik negara untuk meneruskan operasi tersebut. Akibatnya, Amerika Syarikat telah memanggil pulang dutanya daripada Libya. Amerika Syarikat juga telah mengenakan larangan eksport terhadap Libya semenjak kejadian tersebut.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila kedutaan Amerika Syarikat diserang dan dibakar di Tripoli pada Disember 1979. Amerika Syarikat telah memanggil pulang semua kakitangan kedutaannya dan kemudian mengisytiharkan Libya sebagai sebuah negara yang menyokong pengganas pada 29 Disember 1979.

Keadaan menjadi bertambah tegang apabila berlaku kejadian tembakan di antara pesawat pejuang Amerika Syarikat dan Libya di Teluk Sidra pada Ogos 1981 yang mengakibat pesawat pejuang Libya musnah.

Kemucak ketegangan Amerika Syarikat – Libya berlaku apabila pesawat milik syarikat penerbangan Amerika Syarikat Pan Am meletup di Lockerbie, Scotland akibat dibom, dipercayai perbuatan pengganas dari Libya. Libya telah dikenakan sekatan antarabangsa oleh PBB dan dunia serta akibat daripada sekatan tersebut, Libya menjadi terasing dalam arena politik dan perdagangan antarabangsa seterusnya bermulalah era kebangkitan rakyat Libya menentang pemerintahan Muammar Gadaffi.

Libya Era Arab Spring

Apabila meletusnya Arab Spring di Tunisia, ianya merebak di negara-negara Arab lain termasuk Libya. Kebangkitan rakyat Libya menentang kezaliman regim Muammar Qaddafi bermula di bandar Benghazi dan merebak ke bandar-bandar lain. Demonstrasi aman akhirnya bertukar menjadi pertumpahan darah sehingga menjadi perang saudara yang berlanjutan sehingga ke saat ini.

Akhirnya setelah beberapa bulan kebangkitan bermula, kemaraan rakyat yang menentang Muammar Gadaffi tidak dapat lagi dibendung. Kumpulan penentang Muammar Gadaffi bersatu dan membentuk National Transitional Council ( NTC ) yang memimpin penentangan terhadap Muammar Gadaffi. PBB dan NATO turut mengenakan pelbagai sekatan terhadap Libya dan Muammar Gadaffi. Rundingan Mummar Gadaffi dan NTC untuk meredakan keadaan tidak berhasil dan menyemarakkan lagi ketegangan di Libya.

Akhirnya Muammar Gadaffi ditumpaskan serta dibunuh di Sirte,bandar kelahirannya. Bermula dengan serangan pesawat pejuang NATO yang mengebom kedudukan terakhir beliau dan rombongannya, serangan tersebut mengakibatkan anaknya Al-Mutassim Billah Al Gadaffi dan Abu Bakr Yunis Jabr, Menteri Pertahanan Kerajaan Muammar Gadaffi terbunuh. Dengan terbunuhnya Muammar Gadaffi maka berakhirlah era pemerintahannya yang seterusnya menyaksikan Libya masih lagi terbelenggu dalam perang saudara.

Libya Setelah Kejatuhan Regim Muammar Qaddafi

Selepas kejatuhan regim Muammar Gadaffi, keadaan di Libya sebenarnya bertambah buruk. NTC yang kemudiannya diiktiraf PBB sebagai kuasa pemerintah yang sah ke atas Libya mendapat tentangan daripada ketua – ketua puak di Libya dan daripada dalam NTC sendiri memandangkan NTC terdiri daripada beberapa gabungan kumpulan penentang yang sama -sama bersatu memerangi regim Muammar Gadaffi.

NTC setelah mengambil alih pemerintahan Libya menggesa agar pelucutan senjata dilaksanakan supaya tidak berlaku pertumpahan darah namun tidak endahkan oleh banyak puak dan kumpulan. Pembahagian kuasa di antara kumpulan dalam NTC dan pemerintahan Libya juga menimbulkan rasa tidak puas hati sesama mereka memandangkan ada di antara kumpulan – kumpulan ini mendapat sokongan negara tertentu yang membekalkan senjata dan kewangan dengan tujuan dan agenda tertentu.

Akhirnya akibat daripada perselisahan dan perseteruan ini, telah meletus semula pergolakan dan perang saudara baru di Libya yang sehingga hari ini masih berlangsung dan menafikan kedamaian dan kesejahteraan yang dijanjikan setelah tamat era regim Muammar Gadaffi.

Pergolakan di Libya

Pergolakan atau perang saudara terbaru di Libya lebih tertumpu kepada penguasaan wilayah dan kawasan pengeluaran atau telaga minyak di sekitar Libya. Pergolakan ini tertumpu kepada dua fraksi atau kumpulan iaitu kumpulan yang menguasai kerajaan Libya setelah memenangi pilihanraya umum 2014 yang dikenali sebagai Kerajaan Tobruk yang dipimpin oleh Jeneral Khalifa Belqasim Haftar yang menguasai utara dan timur Libya dan satu kumpulan lagi dikenali sebagai General National Congress ( GNC ), yang diterajui oleh Khalifa Al Ghawil yang menguasai barat dan baki kawasan di Libya.

Jeneral Khalifa Belqasim Haftar mendapat sokongan kuat daripada Mesir, Emiriah Arab Bersatu ( UAE ) dan Arab Saudi menolak kuasa politik GNC dan menubuhkan parlimen sendiri di Tobruk, kawasan yang dikuasai oleh Jeneral Khalifa Belqasim Haftar. Disember 2015 di Skhirat, Maghribi, Libya Political Agreement telah ditandatangani oleh kumpulan yang bertelagah dengan bersetuju untuk bergabung sebagai sebuah kerajaan yang dikenali sebagai Government Of National Accord ( GNA ) yang diterajui oleh Fayyez Al Sarraj yang berpusat di Tripoli.

GNA diiktiraf sebagai sebuah kerajaan yang sah memerintah Libya oleh PBB namun ditolak oleh Jeneral Khalifa Belqasim Haftar. Jeneral Khalifa Belqasim Haftar meneruskan pemberontakan dan telah menawan bandar pelabuhan dan pemprosesan minyak Es Sider dan Ra’s Lanuf yang menyukarkan lagi kerajaan GNA yang memerintah Libya untuk menstabilkan serta membangunkan Libya bersandarkan sumber pendapatan minyak yang banyak.

Namun sokongan Mesir, UAE dan Arab Saudi kepada Jeneral Khalifa Belqasim Haftar sehingga ke hari ini menimbulkan banyak persoalan khususnya di kalangan penganalisa politik antarabangsa tetapi sebenarnya ia lebih dilihat kepada campurtangan tiga negara tersebut untuk mencatur landskap politik dan negara Libya. Campurtangan ketiga – tiga negara tersebut lebih dilihat sebagai menurut kehendak Amerika Syarikat yang dilihat sebagai pencatur politik dan kuasa tunggal di rantau tersebut.

Hubungan rapat Amerika Syarikat dengan ketiga – tiga negara tersebut boleh dilihat sebagai akrab apatah lagi pelan damai Asia Barat tajaan Donald J. Trump, Presiden Amerika Syarikat dengan mudah diterima oleh ketiga – tiga negara tersebut walau terpaksa mengorbankan Palestin dan kepentingan Islam. Campurtangan ketiga – tiga negara tersebut boleh juga dilihat sebagai agenda Amerika Syarikat menjaga keselamatan Israel memandangkan Libya sejak dahulu lagi merupakan negara yang kuat menentang Israel sehingga ke hari ini.

Campurtangan tersebut juga jalan mudah untuk Amerika Syarikat menyedut hasil minyak Libya yang sememangnya diidamkannya sejak zaman Raja Idris dari Keluarga Senussi yang memerintah Libya sebelum Muammar Gadaffi. Dijangkakan sebagai balasan, Arab Saudi diberikan senjata canggih buatan Amerika Syarikat dan mendapat sokongan politiknya untuk muncul sebagai kuasa besar di kalangan Dunia Islam dan Asia Barat.

Mesir yang dipimpin As Sisi sudah semestinya mendapat sokongan dan perlindungan Amerika Syarikat untuk kelangsungan pemerintahannya. UAE yang menjadi rakan karib Arab Saudi sudah semestinya mendapat pelbagai sokongan Amerika Syarikat. Maka sekali lagi sebuah negara Dunia Islam menjadi medan tempur kuasa besar dunia untuk meluaskan pengaruhnya dan memanfaat hasil bumi negara Dunia Islam seperti Libya yang kaya dengan sumber minyak yang melimpah ruah.

Peranan Rusia di Libya

Rusia akhir – akhir ini semakin meluaskan pengaruhnya dikalangan Dunia Islam. Kekuatan pengaruh Rusia dikalangan negara – negara bergolak terutamanya dikalangan Dunia Islam serta yang berkepentingan di Asia Barat telah nampak jelas serta membuahkan hasil dari sudut kepentingan strategik Rusia. Pengaruh tersebut tidak terkecuali di Libya dimana Rusia sekarang memainkan peranan mereka sebagaimana apa yang berlaku di sempadan Turki – Syria hingga memaksa pengunduran memalukan Amerika Syarikat daripada kawasan tersebut.

Jeneral Khalifa Belqasim Haftar selain daripada meminta bantuan ketenteraan Amerika Syarikat untuk memerangi kerajaan GNA yang sah, beliau juga memohon bantuan ketenteraan Rusia untuk mencapai matlamat mengalahkan serta menggulingkan kerajaan GNA Libya. Setelah Amerika Syarikat tidak melayan permohonan bantuan ketenteraan Khalifa Belqasim Haftar, Rusia menghantar bantuan ketenteraan seperti tentera upahan kepada Khalifa Belqasim Haftar. Tindakan Rusia ini menyebabkan Amerika Syarikat berang.

Namun apa yang boleh dikaji, strategi Rusia di Libya adalah lebih kurang sama dengan yang dilakukan di sempadan Turki – Syria. Rusia menghantar bantuan ketenteraan kepada Khalifah Belqasim Haftar dan Turki membantu kerajaan GNA Libya. Sama seperti di Syria, Rusia membantu Basyar Al Assad dan Turki memerangi pemberontak Kurdis di sempadan Turki – Syria yang akhirnya memaksa Amerika Syarikat berundur dari kawasan tersebut.

Jika strategi Rusia – Turki ini berhasil, bermakna berkemungkinan besar proksi Amerika Syarikat yang membantu Khalifa Belqasim Haftar seperti Arab Saudi, UAE dan Mesir akan berundur dari bumi Libya dan tidak membantu Khalifa Belqasim Haftar. Amerika Syarikat juga akan hilang kepentingannya di Libya, bermakna Rusia dan Turki akan mengawal seluruh Libya dan sekali lagi, Amerika Syarikat dan sekutunya berputih mata dan semakin hilang pengaruh dalam pertembungan geopolitik dunia.

Erdogan Menyokong Kerajaan Libya Yang Sah

GNA yang memerintah Libya mendapat sokongan padu daripada Reccep Tayep Erdogan, Presiden Turki. GNA juga turut mendapat sokongan Qatar, Sudan dan banyak lagi Dunia Islam. Sokongan Erdogan terhadap GNA yang memerintah Libya boleh dilihat sebagai usaha untuk menghalang campurtangan asing dalam perihal dalaman dan politik Libya. Ia juga dilihat sebagai usaha Turki untuk menghalang perang saudara di Libya daripada berlanjutan.

Pertemuan Perdana Menteri Libya Fayez Al Sarraj dan Presiden Turki Reccep Tayep Erdogan di Istanbul, Turki baru – baru ini dilihat sebagai usaha Turki untuk membantu menstabilkan Libya. Erdogan menawarkan bantuan ketenteraan kepada Libya dalam pertemuan tersebut dalam usaha untuk menghalang tentera pemberontak pimpinan Khalifa Belqasim Haftar daripada memporak – perandakan serta merampas Libya bagi pihak yang berkepentingan.

Sokongan Erdogan terhadap kerajaan Libya yang sah juga menandakan bahawa tindakan beberapa negara menyokong pemberontakan di bawah Jeneral Khalifa Belqasim Haftar adalah cubaan untuk campurtangan urusan dalaman Libya dan boleh dilihat sebagai bertujuan untuk memporak – perandakan Libya agar terus dilanda perang saudara supaya pihak yang berkepentingan memperolehi habuan dan matlamat masing – masing.

Libya adalah contoh bagaimana sebuah negara Dunia Islam yang sedang terumbang – ambing akibat perang saudara diambil manfaat dan khazanah alamnya demi kepentingan kuasa – kuasa besar dunia sejak dahulu lagi. Libya juga adalah contoh terbaik masa kini bagaimana keadaaannya jika umat dan Dunia Islam berpecah belah serta mementingkan agenda dan matlamat tersendiri tanpa memikirkan umat dan kepentingan Dunia Islam.

Dunia Islam yang sememangnya kuat dan bersaudara sejak dahulu lagi telah berjaya dihidu kelemahannya oleh musuh Islam sehingga berjaya memecahbelahkan serta menghancurkan kekuatan dan kesatuan Dunia Islam. Umat dan Dunia Islam yang lalai dan leka dengan kecantikan duniawi telah diserapi jarum halus oleh musuh Islam agar bermusuhan sesama sendiri. Akibat daripada, kesatuan dan kekuatan Dunia Islam telah musnah serta Islam telah berada satu tapak lagi daripada ambang kegelapan dan kemusnahan.

Demi untuk kelangsungan Dunia Islam, umat Islam harus menyedari bahawa kekuatan ummah dan persaudaraan akan menguatkan Dunia Islam dalam mendepani cabaran masa depan. Dunia Islam harus menghentikan persengketaan dan peperangan sesama sendiri, malah perlu mencari titik persamaan demi menghentikan segala persengketaan seterusnya menguatkan kembali persaudaraan dan kesatuan Dunia Islam.

Sessungguhnya Dunia Islam akan kuat jika bersatu- padu dan tolong – menolong sesama sendiri. Dengan kekuatan sebegini, Dunia Islam tidak lagi perlu berselindung atau bersandarkan kepada bantuan asing untuk kembali kuat dan gemilang. Paling utama, kembali kepada ajaran Al – Quran dan sunnah Rasulullah SAW kerana sesungguhnya barangsiapa yang jauh daripada agama Allah SWT, nescaya rahmat dan keberkatan Allah SWT akan menjauhi mereka. Semoga kita semua tergolong dikalangan orang – orang yang beriman.

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Burok – HARAKAHDAILY 21/12/2019

- Advertisement -