KL Summit dan teka teki politik

- Advertisement -

KL Summit

(1)     KL Summit yang sedang diadakan pada hari ini perlu diteliti tentang peranan Malaysia di peringkat antarabangsa. Walaupun negara kecil dengan penduduk 30 juta orang.

Malaysia yang dipimpin oleh Tun Mahathir, bersama negara-negara lain memutuskan penggunaan matawang baru, mungkin bakal menyaingi Dollar.

(2)     Sepertimana yang pernah saya tulis sebelum ini, KL Summit menggambarkan bahawa OIC sudah tidak memainkan peranan yang sebenar, untuk menjadi suara Umat Islam.

(3)     Apa yang sedang diagendakan oleh beliau sehingga menjemput pimpinan-pimpinan besar negara yang majoriti Umat Islam? Di peringkat antarabangsa, Tun M sudah berada di tahap senior.

Merupakan pimpinan negara tertua di dunia, dan antara individu yang menjawat jawatan Perdana Menteri terlama dalam sejarah politik dunia.

(4)     Beliau dikelilingi oleh pimpinan-pimpinan DAP dan PKR yang dilihat tidak sebulu dengan beliau. Apatah lagi DSAI yang menunggu untuk jadi PM.

a-     Dalam masa yang sama, perlu diingat bahawa beliau juga dikelilingi oleh tauke-tauke besar yang memegang khazanah kekayaan Malaysia.

b-     Dalam masa yang sama juga, dunia sedang ‘menonton’ pertembungan antara Amerika VS China. Tun M dilihat bertegas dengan geng Amerika.

Crypto Currency

(1)     Matawang yang dicadangkan untuk diselaraskan ialah Crypto Currency. Hakikatnya hal ini tidak perlu dihebohkan pun, kerana penyelarasan ini tidaklah susah mana.

Hanya perlu berpakat sesama government sudah cukup untuk menjayakannya. Tetapi mengapa ia dilontarkan dalam wacana antarabangsa itu?

Apabila ia dilontarkan, dan dipersetujui dalam wacana tersebut, mungkin menjadi satu fenomena yang besar. Seolah-olah ada strategi politik di sebaliknya. Fikirkan.

(2)     Dahulu, Tun M pernah cadangkan Yen. Hari ini Kripto pula. Apabila dikaji frame sejarah ini, seolah-olah Tun M agak cenderung untuk tidak menyebelahi blok Barat.

Kita tengok pula DSAI yang terang-terang membawa pengaruh Barat. Antaranya menjadi ‘figure’ National Endowment of Democracy (NED).

Begitu juga dengan pengakuan NED menyalurkan dana kepada pembangkang sejak 2002-2018 dalam satu forum pada bulan Julai 2018 anjuran CSIS.

(3)     Framenya semacam Barat nak menjatuhkan BN, dan mengangkat pembangkang yang dilihat membawa idealogi Barat dan mengikut agenda terbaru mereka.

Contohnya pengakuan tajaan NED tadi bermula pasca 11 September 2001 yang merupakan ‘gimik pelancaran’ Islamophobia. Era itu 2004-2006 juga merupakan era kemunculan Muslim Moderate.

Pasca 11 September 2001

(1)     Muslim Moderate dan Islamophobia kedua-duanya adalah agenda Barat yang dipertembungkan pasca 11/9. Manakala di Malaysia ketika itu masih di takuk lama, iaitu pengaruh British sejak merdeka 1957.

Sejak pasca 11/9, usaha untuk melancarkan Islamophobia dan Muslim Moderate di Malaysia dilihat agak terencat. Apatah lagi geng Muslim Moderate dah terkeluar dari PAS.

(2)     Tiga parti Islam yang berjaya menang secara demokrasi pada awal 90-an ialah Parti Refah, Parti Nahdhah dan PAS. Menggambarkan bahawa ketiga-tiga parti ini mesti ‘dicantas’.

a-     Parti Refah diharamkan atas alasan keganasan. Lalu terpecah menjadi dua, iaitu Parti Saadat, dan AK Party yang menjadi model Moderate.

b-     Parti Nahdhah telah dikuasai terus oleh geng Moderate.

c-     PAS pernah cuba dikuasai, namun gagal. Lalu geng Moderate keluar dari PAS dan menubuhkan parti lain.

(3)     Jika diteliti framenya, memang logik untuk kita katakan usaha Barat untuk menguasai Malaysia bermula 2002 dengan cara mengalahkan BN dan memastikan PAS tak menang.

Apa yang dilihat, ia bertujuan memastikan Moderate itu subur. Atau dengan kata lain, supaya mereka berjaya mencorakkan Islam acuan Barat di Malaysia.

Tetapi, individu yang bernama Tun M dari sudut ini dilihat cuba menyekat agenda Barat daripada menguasai Malaysia. Hakikatnya susah nak dibayangkan.

Persaingan media

(1)     Apabila dilihat perbincangan KL Summit, menyerlahkan lagi usaha beliau untuk menyekat agenda Barat untuk memasuki Malaysia.

Selain daripada membincangkan matawang Kripto, mereka turut membincangkan untuk mewujudkan jaringan media telus bagi berhadapan dengan cengkaman media Barat.

(2)     Kita perlu faham bahawa persepsi masyarakat dunia hari ini dibentuk framenya oleh media-media Barat. Isu Uyghur yang sudah lama berlaku baru hari ini dipanaskan.

Gambar-gambar yang tak betul pun dikaut sekali, lalu dihidangkan kepada kita. Mereka yang tidak mengkaji isu antarabangsa, pasti akan terikut dengan permainan ini.

(3)     Sepertimana yang saya nyatakan berkali-kali dalam artikel-artikel sebelum ini, isu Uyghur ini hakikatnya adalah pertembungan antara Amerika dan China.

Amerika nak menjuarai psywar ini dengan menghidangkan berita-berita campuran palsu tentang kezaliman China terhadap Umat Islam Uyghur.

Umat Islam di Malaysia pun bangkit mengutuk kekejaman China. Dalam masa yang sama tak perasan bahawa ketidakpuasan hati ini adalah rancangan Amerika.

(4)     Jadi, rata-rata Umat Islam di Malaysia sudah pun meluat dengan projek penChinaan. Apatah lagi perangai-perangai Pakatan Harapan yang dilihat cenderung ke China.

Persoalan dan teka-teki

(1)     Adakah benar Tun M cenderung kepada China? Atau beliau cuba menarik pengaruh China bagi membendung pengaruh Barat terhadap Malaysia?

Atau memang beliau yang merancang untuk menimbulkan sentimen benci DAP di peringkat nasional sahaja, untuk mengekang pengaruh Barat?

(2)     DAP di Malaysia yang sebangsa dengan China, tetapi dilihat menguntungkan pengaruh Barat. Kadang-kadang dilihat sengaja merugikan pengaruh China itu sendiri.

Antaranya dilihat sengaja membakar sentimen-sentimen Komunis, memperagakan tulisan China, menentang tulisan Jawi, abu Chin Peng dan sebagainya.

(3)     Adakah ia agenda China, atau ia adalah agenda Barat? DAP dilihat melakukan semua ini, seperti sengaja untuk meruntuhkan pengaruh China di Malaysia, seterusnya menguatkan pengaruh Barat.

Seolah-olah, DAP yang buat masalah, China yang dapat nama. Yang untungnya adalah Amerika. Semakin teruk provokasi yang DAP lakukan, semakin untung pengaruh Amerika.

(4)      Seolah-olah langkah Tun M menganjurkan KL Summit boleh dikatakan jasa besar untuk mengeluarkan Malaysia daripada ‘terlekat’ dalam persaingan Amerika-China.

Kita yang duduk di tengah-tengah hanya tahu makan pop corn, sepatutnya berfikir dan merancang. Bukan sekadar menonton dan menunggu nasib ditentukan mereka. – HARAKAHDAILY 21/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -