Fanatisme dalam pendidikan undang malapetaka

- Advertisement -

TERSINGKAP sudah sikap Fanatisme sekelompok masyarakat Cina apabila enggan menerima sukatan pengajian Khat Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah rendah Vernakular. Silibus pelajaran seni Khat Jawi berkenaan hanya melibatkan beberapa helai muka surat sahaja, bukannya pengajian Bahasa Melayu itu semuanya dalam tulisan Jawi.

Apa yang nak ditakutkan sangat dengan belajar menulis seni Khat itu sehingga terpaksa memanggil satu kongres pada 28 hari bulan ini. Apakah dengan belajar seni Khat itu, semua murid lupa tulisan bahasa ibunda mereka? Atau, apakah kelompok itu memang sengaja mewujudkan suasana ketakutan di kalangan rakyat terutamanya kaum Cina dan India dalam negara ini supaya mereka dapat memenangi peperangan persepsi yang sengaja direka?

Kelompok berkenaan perlu sedar bahawa kekuatan sesebuah negara berakar umbi sistem pendidikan yang dijana oleh sikap toleransi dan ikhlas membina masyarakat yang saling hormat menghormati antara satu sama lain. Pastinya, kekuatan tersebut mesti didukungi oleh semua kaum dalam negara ini.

Namun begitu, sekiranya sesuatu kumpulan itu mengambil sikap ekstrem atau fanatik kepada kaumnya sendiri, maka hasrat mewujudkan negara harmoni dan makmur tidak akan kesampaian. Batu-bata perpaduan akan meretak, pecah dan melebar. Ini adalah satu kemudharatan dan malapetaka yang cukup bahaya dan wajib dihindari oleh semua pihak.

Perlu difahami bahawa pengenalan pengajian seni Khat Jawi di sekolah rendah Vernakular adalah usaha baik yang mampu merapat serta memperkenalkan asas silang budaya yang cukup bermakna.

Ia juga merupakan tali penyambung jalinan kemesraan antara kaum apabila anak-anak sekolah rendah berbilang kaum saling belajar dan memahami bahasa dan tulisan masing-masing. Andai kata pihak Kementerian Pendidikan pula ingin memasukkan sukatan mempelajari beberapa patah perkataan atau tulisan bahasa Cina atau Tamil di sekolah kebangsaan, ia adalah sesuatu yang baru .

Oleh kerana respons negatif pihak yang menentang tulisan Jawi di sekolah rendah Vernakular kian galak, maka rakyat sedang memerhati dan menilai ketegasan Kerajaan PH menangani isu ini. Sekiranya kongres pada 28 hari bulan ini umpama sumbu menyala bakal menyebabkan satu letupan dahsyat, maka tindakan tegas hendaklah diambil.

Dalam hal ini, PAS akur mengenai realiti kewujudan pelbagai bangsa serta bahasa dalam negara, dan PAS tegas menolak sikap Fanatisme. Kepelbagaian ini merupakan manifestasi kekuasaan Allah S.W.T Yang Maha Pencipta. Maka, kini terletak di atas kebijaksanaan Kerajaan PH mengolah kepelbagaian bangsa dan kaum dalam membina keutuhan, perpaduan dan keharmonian negara Malaysia.

DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Timbalan  Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 21/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -