Atlit muda Sukan SEA Manila membanggakan

- Advertisement -

BERAKHIRNYA Sukan SEA Manila 2019 yang telah berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember baru-baru ini mencatatkan pelbagai kisah suka dan duka dengan pencapaian yang masih boleh dianggap baik dengan 55 Emas, 58 Perak dan 71 Gangsa.

Secara perkiraan angkanya menampakkan kegagalan kontinjen Malaysia pada kali ini kerana tidak berjaya mencapai sasaran 70 pingat Emas yang menjadi buruan semua atlit di Manila, Filipina.

Namun demikian, sekalung penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan tahniah wajar diberikan kepada Ketua Kontinjen, barisan pengurus, jurulatih dan atlit keseluruhannya setelah mempamerkan aksi berjuang membawa nama Malaysia.

Di sebalik kekecewaan peminat bola sepak negara yang gagal menyinar malah tidak dapat mengulangi pencapaian dua tahun lalu ke perlawanan akhir di Kuala Lumpur menggusarkan kita semua.

Sudah pasti pelbagai tindakan pembetulan dan langkah penambahbaikan mesti diambil dan bukannya sekadar menamatkan kontrak dan khidmat jurulatih, Ong Kim Swee yang juga berjasa kepada negara, tetapi aspek pembangunan mesti diperkemaskan.

Apa yang menarik perhatian Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Malaysia adalah pencapaian membanggakan atlit muda negara dalam acara lain khususnya olahraga termasuklah Raja Pecut Asia Tenggara yang baharu, Muhammad Haiqal Hanafi, 20.

Semangat dan kesungguhannya wajar menjadi inspirasi buat anak muda walaupun sekadar menjadi atlit kategori B yang mana pada awalnya tidak disebut namanya sebagai harapan untuk menggapai pingat Emas.

Kejayaan Haiqal dapat membuktikan semangat juang anak muda sangat tinggi jika diberikan peluang dan ruang sebaiknya untuk bertanding di pentas antarabangsa.

Malah ketika ditemubual RTM, Haiqal terus menyebutkan sasarannya selepas ini untuk beraksi dan mencapai kejayaan di Sukan Olimpik pula yang sudah pasti prestijnya pada kelas yang tersendiri.

Beliau pada asalnya seorang pemain bola sepak telah menerima saranan seorang ustaznya agar memberi penumpuan dalam sukan olahraga yang lebih berpotensi buatnya dan kini membuahkan hasilnya.

Begitu juga bagi seorang lagi atlit muda olahraga, Muhammad Irfan Shamshuddin, 24 memenangi pingat Emas bagi acara lempar cakera dikhabarkan membayar elaun salah seorang jurulatih menggunakan duitnya sendiri.

Di samping itu, tahniah juga buat anak muda, Mohammad Rifdean Masdor, 17 memenangi pingat Emas acara Muay Thai dan pemain-pemain boling padang negara yang membawa pulang 3 Emas dan 2 Gangsa yang diwakili majoritinya anak muda.

Justeru, DACS Malaysia mencadangkan agar penumpuan mesti diberikan kepada sukan tumpu yang banyak diceburi anak muda khususnya melalui bakat sekolah sukan dan universiti.

Kesungguhan dan kegigihan anak muda sewajarnya mestilah dihargai setimpal dengan usaha mereka khususnya melibatkan peluang beraksi di persada yang lebih tinggi dan kebajikan atlit selengkapnya.

Bersama-samalah kita majukan sukan negara. Teruskan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Wira Malaysia.

“Fit Is Sunnah
“Sukan Satukan Kita”

HAFEZ SABRI
Ketua Pengarah
DACS Malaysia – HARAKAHDAILY 21/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -