Uyghur: KL Summit perlu bantah kekejaman China

    - Advertisement -

    POKOK SENA: KL Summit 2019 didesak mengeluarkan satu bantahan keras terhadap Kerajaan Komunis China yang bertindak kejam ke atas Muslim Uyghur.

    - Advertisement -

    Desakan itu dinyatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nurul Amin Abdul Hamid dalam demontrasi aman di sini, petang tadi.

    Demontrasi itu diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Nurul Ihsan, Pekan Langgar, dekat sini.

    Turut berucap di dalam acara itu termasuk Ahli Parlimen Pendang, Awang Salahudin, Ahli Parlimen Sik, Ustaz Tarmizi Sulaiman, Adun Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood di hadapan pimpinan serta ahli-ahli di semua peringkat.

    Difahamkan perhimpunan seumpama itu diadakan serentak di setiap negeri seluruh negara.

    Ustaz Nurul Amin juga menggesa umat Islam bersatu dan menyebarkan mesej Kempen Save Uyghur di semua lapangan media.

    “Kami juga menggesa mufti-mufti seluruh Malaysia bangkit menyatakan bantahan secara jelas atas nama agama dan kemanusiaan.

    “Menggesa Kerajaan PH membuang segala unsur Komunis dalam negara yang kini dilihat cuba dihidupkan semula.

    “Mendesak Kerajaan PH menyatakan pendirian jelas terhadap apa yang berlaku di Uyghur,” ujarnya.

    Pemuda PAS juga mendesak kerajaan melihat dan mengkaji semula kerjasama China-Malaysia bagi memastikan Malaysia sebagai negara Islam, dalam usaha membantah penindasan terhadap Uyghur. – HARAKAHDAILY 20/12/2019

    - Advertisement -