Potensi ‘circular economy’ di Malaysia

- Advertisement -

CIRCULAR economy’ ini bukanlah perkara baharu. Berikutan baru-baru ini Singapura dengan kerjasama pelbagai pihak mengadakan Simposium Circularity 2030, lalu Ustazah bertanya sejauh mana pendirian kerajaan ke arah ‘circular economy’ ini.

Sudah banyak negara yang menerapkan polisi ‘circular economy‘ ini. Konsep ini adalah konsep dengan prinsip guna barang, pulangkan barang dan cipta semula (use, return, and re-create) yang mana berbeza dengan ‘linear economy’ iaitu konsep yang berprinsipkan beli, gunakan dan buang (buy, use and throw).

Ini adalah satu proses kitar semula barang yang menyeluruh. Contohnya, setelah anda menggunakan sesuatu produk, anda perlu serahkan semula kepada kilang untuk diproses ataupun dikitar semula. Jadi produk tersebut tidak terbuang dan terkumpul di tempat pembuangan sampah sehingga mencemarkan alam sekitar.

Jepun misalnya telah menetapkan polisi di setiap produk yang boleh dikitar semula, misalnya, undang-undang berkaitan botol plastik, undang-undang berkaitan sisa elektronik dan sebagainya. Kilang juga perlu menyediakan platform supaya setelah barang elektronik (contohnya) telah rosak, pembeli boleh menjual atau memberi semula kepada kilang untuk diuruskan semula. Tidak perlu buang di tong sampah.

Kita berhadapan dengan masalah sampah yang sangat besar sehingga tidak cukup ruang tempat pembuangan sampah. Sesungguhnya, telah menjadi pesanan dan budaya yang diterapkan oleh Rasulullah S.A.W iaitu sikap jangan membazir dan diseru untuk menjaga alam sekitar.

Oleh itu, buat masa ini, mari kita sayang kepada setiap barang-barang kita dan beli barang yang diperlukan sahaja. Kita mengharapkan adanya satu mekanisme yang dapat menggalakkan amalan kitar semula dan guna semula barang-barang terpakai dan boleh dikitar semula secara menyeluruh supaya alam sekitar terpelihara, insyaALlah.

Sekian.

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 20/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -