Dogmatism: Islam menolak pembodohan akal

HUJAH Iblis

(1)     Manusia telah dimuliakan oleh Allah S.W.T dengan akal yang melahirkan ilmu dan kebolehan berbicara dengannya. Firman Allah S.W.T;

Advertisement



۞ وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِیۤ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَـٰهُمۡ فِی ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَـٰهُم مِّنَ ٱلطَّیِّبَـٰتِ وَفَضَّلۡنَـٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِیرࣲ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِیلࣰا

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

(al-Isra’: 70)



(2)     Di dalam Tafsir Jalalain, menyatakan bahawa kemuliaan yang diberikan oleh Allah S.W.T ialah ilmu dan berbicara dengan akal. Kalau semata-mata akal, Allah S.W.T turut kurniakan kepada malaikat.

Akal yang ada pada malaikat tidak menyebabkan mereka tersesat. Tetapi mengapa di kalangan manusia, menggunakan akal boleh jadi sesat?

(3)     Tak mungkin Allah S.W.T cipta akal, dan menyuruh kita menggunakan akal, tiba-tiba akal itu membawa kepada kesesatan. Hakikatnya mereka itu berfikir bukan dengan akal, tetapi dengan nafsu.

Maka, perlu bezakan golongan yang berfikir dengan akal, dan mereka yang berfikir dengan nafsu. Contoh mereka yang berfikir dengan nafsu ialah Iblis.

(4)     Apabila disuruh oleh Allah S.W.T untuk tunduk hormat kepada Nabi Adam A.S, dia enggan. Iblis mengambil pendekatan meliberalkan diri daripada terikat dengan arahan Allah.

Apa hujah Iblis? Iblis berhujah dengan nafsu yang tidak didasari dengan pemikiran. Nafsunya meracui akal. Lalu Iblis menjawab sebab keengganannya itu ialah faktor material.

Material Iblis ialah api, manakala material Nabi Adam A.S adalah tanah. Ini menunjukkan bahawa Iblis juga berfikir, tetapi berhujah dengan nafsu. 

Malaikat yang berfikir

(1)     Perhatikan pula malaikat, malaikat dikurniakan akal tetapi dengan akalnya itu tidak menyebabkan malaikat ingkar arahan Allah S.W.T.

Apabila Allah S.W.T ingin menciptakan manusia yang akan menjadi khalifah di muka bumi, para malaikat bertanya Allah menciptakan golongan yang menumpahkan darah?

(2)     Ini menunjukkan bahawa malaikat itu berfikir dan mempunyai akal. Tetapi dengan akalnya tidak menjadikan malaikat itu ingkar arahan Allah S.W.T.

(3)     Bahkan soalan malaikat itu diraikan oleh Allah S.W.T dengan menyuruh Nabi Adam A.S mengajarkan ilmu yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Setelah malaikat mengetahui ilmu yang diberikan kepada Nabi Adam A.S, para malaikat mengatakan;



قَالُوا۟ سُبۡحَـٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَاۤ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِیمُ ٱلۡحَكِیمُ

“Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

(al-Baqarah: 32)



(4)     Islam adalah agama yang meraikan akal. Bukannya agama yang penuh dengan misteri dan mitos sepertimana agama Kristian era zaman kegelapan (4-14 Masihi)

Kebangkitan Martin Luther contohnya, membawa Kristian cara baru iaitu Protestan yang memprotest Kristian Katholik, yang dilihat membawa ketahyulan dan dogmatism.

Nabi Ibrahim A.S

(1)     Antara yang menjadi mangsa, Islam hari ini turut digambarkan sebagai agama yang penuh misteri. Seolah olah Islam itu tidak dianggap sebagai agama yang memanfaatkan akal.

Antara gejala-gejalanya, dikatakan Islam itu melarang bertanya, hanya disuruh ikut dan tak banyak cakap. Walaupun tak dinafikan ada beberapa item yang sedemikian rupa.

Contoh dalam bab ghaibiyyat, sam’iyyat yang sememangnya perlu diimani secara bulat-bulat. Akan tetapi Islam bukan semuanya ghaibiyyat dan samiyyat sahaja.

(2)     Ada ruang lingkup ijtihad yang sangat luas dan bercabang. Ijtihad perlu diproses dengan akal fikiran, bukannya sentimen dan nafsu.

a-     Lihat bagaimana Allah S.W.T menjawab pertanyaan Nabi Ibrahim A.S di dalam Surah al-Baqarah ayat 260. Menunjukkan bahawa Allah menggalakkan hambaNya untuk berfikir.

Di dalam ayat tersebut, mengapa Allah S.W.T tidak menyuruh Nabi Ibrahim A.S yakin sahaja (tanpa berfikir) bahawa Dia berkuasa? Kerana Allah memuliakan manusia dengan akal.

b-     Lihat Surah al-An’am ayat 76-78 bagaimana kaedah Nabi Ibrahim A.S berfikir untuk memahami konsep pendewaan yang diamalkan oleh Mesopotamia.

Hal ini dicatatkan di dalam al-Quran bagi menggambarkan bahawa berfikir itu adalah manhaj para Nabi. Iaitu menggunakan akal dalam dakwah

Mimpi kita bukan hujah

(1)     Orientalis selama ini cuba menggambarkan Islam itu sebagai agama yang penuh misteri, agama yang hanya perlu diimani secara bulat, tidak dibenarkan bertanya, dan sebagainya.

Ada juga orang Islam yang terpengaruh dalam hal ini. Antaranya berhujah dengan karamah dan mimpi, serta menganggap kedua duanya sumber agama.

(2)     Memang benar ada hadis dan ayat al-Quran menceritakan tentang mimpi para Nabi. Hakikatnya mimpi para Nabi itu disandarkan dengan al-Quran dan Sunnah.

Mimpi kita tiap-tiap hari itu ada sandarankah sehingga diwajarkan menjadi sumber agama? Bimbang jika geng Liberal juga mendakwa dapat kebenaran ber-transgander melalui mimpi.

a-     Ya, para Nabi A.S diberikan wahyu antaranya melalui mimpi. Antaranya Nabi Ibrahim A.S. Tetapi pernah tak dengar Nabi Ibrahim A.S berhujah dengan mimpinya itu?

b-     Nabi Musa A.S berhujah dengan Firaun dengan akalnya atau mimpinya? Nabi Muhammad S.A.W berhujah dengan pembesar Quraisy dengan akalnya atau mimpinya?

(3)     Akal diciptakan oleh Allah S.W.T bersifat ingin tahu. Ahli Falsafah Yunani satu ketika dahulu mengkaji tentang kebahagiaan. Sebahagiannya mengatakan bahawa kebahagiaan yang sebenar ialah apabila ‘tahu’.

Jika seseorang itu mengetahui tentang sesuatu, mereka dikira sudah mengecapi kebahagiaan. Topik ini dipanggil sebagai Epistemologi.

Dogmatism

(1)     Apabila Allah S.W.T mencipta akal yang bersifat ingin tahu, maka sudah pasti Islam yang merupakan agama fitrah, meraikan sifat naluri tersebut.

Sebab itulah banyak dialog di dalam al-Quran dan Hadis menggambarkan situasi soal-jawab, atau dialog. Contohnya sepertimana yang saya gambarkan tadi.

(2)     Namun, yang menjadi masalah apabila Umat Islam di’paksa’ untuk berdogma di dalam agamanya. Apa yang gurunya sebut, mesti diakui absah sekalipun bercanggah dengan agama.

Kesalahan-kesalahan gurunya ditakwil sehingga mencapai tahap yang dilabel ‘husnuzzon’. Gurunya menyokong Sekular dengan jelas sekalipun, akan dihusnuzzonkan dan ditakwil.

Antara alasan yang paling dipakai ialah ‘Kamu siapa nak dibandingkan dengan guru kami?’. Bukan berhujah. Sekadar berfalasi mengelak daripada menjawab.

(3)     Berbeza dengan cara Islam. Islam meletakkan supaya Umatnya wajib belajar, dan berusaha melepaskan diri daripada dogmatism.

Betul atau salah, hanya ditentukan oleh al-Quran dan Hadis, tidak kira siapa pun. Al-Quran dan Hadis sarat dengan hujah dan ilmu, bukannya dogma.

(4)     Apa dalil pengharusan Sekularism? Itu yang perlu dikemukakan andai seseorang itu membawa kebenaran andai Sekularism itu benar, datangkan hujah, bukannya memaksa orang untuk berdogma dengannya. – HARAKAHDAILY 20/12/2019