Dividen terendah cerminkan ekonomi negara

- Advertisement -

PNB telah mengumumkan pengagihan pendapatan bagi dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi PNB, pengagihan ini melibatkan pembayaran keseluruhan berjumlah RM9.0 bilion dan akan memanfaatkan hampir 10 juta pemegang unit ASB, merangkumi pengagihan pendapatan 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.

Kelembapan ekonomi

Kelembapan pasaran dunia dan domestik adalah antara sebab utama mengapa ASB mencatatkan agihan yang rendah untuk tahun 2019.

Menurut Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, “Akibat daripada ketidaktentuan pasaran kewangan dan perang dagang US-China yang berterusan, dengan perdagangan global yang perlahan yang menjejaskan permintaan luar dan prestasi eksport bagi pasaran serantau, persekitaran pasaran telah menjadi lebih mencabar pada 2019”.

Tambah beliau, “Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) menurun sebanyak 7.2 peratus setakat ini, menjadikannya antara indeks dengan prestasi terendah di dunia. Ini merupakan tahun kelima daripada enam tahun berturut-turut pasaran tempatan mencatatkan pulangan negatif.”

Terendah, tetapi kompetitif

Kebanyakan penganalisis menyifatkan kadar dividen ASB bagi tahun 2019 (5.00 + 0.50) masih kompetitif dalam situasi ekonomi semasa, meskipun terendah sejak dana tersebut ditubuhkan.

Ini berdasarkan perbandingan kepada penanda aras yang digunapakai ASB, iaitu melebihi 2.4 peratus daripada kadar pulangan deposit tetap 12-bulan Maybank, dan mengatasi Indeks FBM KLCI dengan 12.7 peratus.

Malah pengumuman dividen 2019 yang lebih rendah berbanding dividen 2018 (6.50 + 0.50) sudah pun dijangkakan oleh kebanyakan pencarum, berdasarkan prestasi agihan pendapatan Tabung Haji dan LTAT yang turut mencatatkan rekod ‘dividen terendah’ dalam tempoh setahun ini.

Melangkah ke hadapan

PNB mensasarkan untuk terus memperkukuhkan portfolio pelaburan melalui strategi kepelbagaian dalam dan luar negara (diversification), di samping penciptaan nilai dalam syarikat teras dan strategik, serta pengurusan risiko yang lebih teliti dan peningkatan kecekapan menerusi transformasi organisasi yang progresif.

Dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) melebihi RM300 bilion, PNB pastinya berdepan dengan cabaran yang amat besar untuk memastikan pelaburannya diurus secara mampan dan profesional, seterusnya memberikan pulangan positif kepada pencarum dan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Malah pengumuman kadar ‘dividen ASB yang terendah’ bagi tahun 2019 ini wajar menjadi ‘wake-up call’ kepada kerajaan untuk mengambil tindakan drastik, bukan sekadar retorik, bagi memulihkan keyakinan pelabur serta mengembalikan kestabilan ekonomi dan politik dalam negara.

Ini kerana pulangan dividen yang rendah dan keyakinan pelabur yang rendah, mencerminkan realiti sebenar kedudukan ekonomi dan kestabilan politik dalam sesebuah negara.

  • Syahir Sulaiman, 20 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 20/12/2019
- Advertisement -