Persaingan idealogi dan umat Islam yang di’remote’

- Advertisement -

TUN M dan KL Summit

(1)     Tidak dinafikan kerencaman idealogi di Malaysia hari ini membawa negara ini ke arah persaingan idealogi. Realiti yang kita lihat hari ini, adalah bentuk persaingan idealogi.

Cuma, ramai yang tak menyedari hal ini. Bahkan melihat ia sebagai satu perlecehan. Apa yang terjadi hari ini? Iklan pelacuran di tengah bandar, KL Summit, isu Uyghur dan lain-lain.

Isu Uyghur telah saya ulas sebelum ini berkaitan ‘pertempuran’ Amerika VS China. China yang sedang membina empayar di Eurasia. Begitu juga Amerika cuba mengekang penguasaan ini.

(2)     Di belakang tabir suasana politik di Malaysia, bahkan di seluruh dunia, sedang berlakunya perebutan menguasai pengaruh. Malah, ada rakyat Malaysia yang menjadi proksi mereka.

Sama ada secara sengaja, atau tidak sedar. Cumanya, beberapa individu yang dilihat mempunyai peranan penting dalam menghadapi persaingan ini.

(3)     Perlu perhatikan dan kaji tentang pemikiran Tun M. Apa yang sedang dirancang oleh beliau, merangkap orang paling penting di Malaysia.

Walaupun dikenali sebagai Perdana Menteri tertua di dunia, namun strateginya perlu dikaji dan diteliti. Apa yang tersimpan dalam poketnya perlu dilihat dengan neraca idealogi.

KL Summit yang sedang diadakan di Malaysia seolah-olah Tun M ke arah menubuhkan OIC Kedua. Menggabungkan Pakistan, Qatar, Turki, Indonesia dan Malaysia.

Tun M VS Anwar

(1)     KL Summit menggambarkan agenda baru di peringkat antarabangsa. Arab Saudi menyatakan kebimbangan terhadap agenda ini. Apakah yang sedang difikirkan oleh Tun M?

Dalam masa yang sama Tun M dikelilingi oleh orang-orang DAP yang terang-terang membawa agenda Sosialis. Agenda DAP dilihat selari dengan pergerakan China menguasai rantau Asia Tenggara.

Contohnya agenda Belt And Road Initiative BRI yang dipromosikan dalam bentuk komik dan disebarkan ke sekolah-sekolah. Sejarah-sejarah Komunis dicungkil semula.

(2)     Dalam masa yang sama, Tun M dilihat bertegas dengan Barat. Antaranya pada Mei 2019 beliau mengecam Israel terhadap kekejaman di Palestin.

(3)     Dalam masa yang sama, Triple IT juga menganjurkan program yang lebih kurang sama, Issues Of The Ummah And Global Challenges In Contemporary Islamic Discourse.

Programnya dijadualkan 8 Januari tahun depan, menampilkan figure-figure luar negara dan Izzah sendiri. Apa yang nak dipersaingkan?

(4)     Seolah-olah nak ‘meraikan’ Generasi Z yang dahagakan wacana dan dialog. Sekalipun tak dipanggil bercakap, mereka akan ‘mencari’ mikrofon untuk memasarkan idealogi yang terbuku di benak mindanya.

Apa yang sedang difikirkan oleh Anwar? Dan apa pula yang sedang dirancang oleh kita? Kalau TGHH biasa ke peringkat antarabangsa, kita bagaimana pula?

Muhasabah

(1)     Kita perlu sedar, ketebalan Sekularism selama ini di Malaysia telah menyebabkan masyarakat Malaysia seolah-olah kurang daya berfikir.

Isu-isu antarabangsa dianggap rumit dan menyusahkan. Pembelajaran tentang idealogi dibakul sampahkan kerana dianggap satu kehanyutan.

(2)     Menyebabkan musuh-musuh Islam bebas memasarkan idealogi mereka dan merancang projek-projek doktrinisasi. Kita memejamkan mata.

Apabila hak-hak kita dirampas, baru rasa nak menjerit dan berdemo. Antara realiti yang perlu kita pelajari;

a-    Semasa isu Syria, kita dihidangkan oleh media tentang kejahatan Syiah. Sahabat-sahabat yang mengkaji, menerangkan ia adalah agenda Amerika.

Terus sahabat ini dicop ‘Syiah’ dan kajiannya dibakul sampahkan. Orang yang tukang cop itu pun bukan rajin nak mengkaji, hanya berkiblatkan sebaran facebook kemudian berdemo.

b-     Apabila Barat melancarkan video-video ISIS, ada sahabat yang menceritakan ia agenda Amerika. Lantas sahabat ini dicop “Enta ini semua benda Amerika”.

c-     Hari ini munculnya isu Uyghur. Masing-masing hanya mengkaji melalui internet yang dihidangkan oleh Barat. Lantas mereka ulas semberono kerana tidak kaji frame Barat menguasai minda.

Umat Islam dicatur

(1)      Sebelum ini saya ada tuliskan sendikit tentang isu Uyghur. Kita perlu hati-hati dengan permainan Barat. Isu ini sudah lama tersimpan dan terpendam.

Barat juga yang simpan isu ini daripada tertular di media. Perlu faham isu ini dibakar di media tujuannya ialah perancangan Barat menguasai minda untuk menentang China.

(2)     Selemah itukah kita sebagai Umat Islam? Apabila Barat meniupkan sentimen Syiah, kita merata-rata mengutuk Syiah. Apabila Barat bakar isu ISIS, kita kutuk orang Islam yang ganas.

Apabila Barat meniupkan sentimen China, kita kutuk kaw-kaw China. Seolah-olah kita di ‘remote’ oleh Barat untuk memenangkan Barat dalam psywar ini.

(3)     Kalau dahulu, apabila Jepun menjajah Tanah Melayu, British melahirkan proksi-proksinya di kalangan orang Melayu untuk bersuara bagi pihak British melawan Jepun.

Tidak dinafikan penentangan terhadap penjajah itu wajar, tetapi mengapa perlu sediakan diri menjadi proksi British? Akhirnya Jepun kalah, British masuk Tanah Melayu cuci kaki.

(4)     Apabila orang rumpun Melayu berpakat untuk membina Melayu Raya, proksi-proksi British ini juga lah yang bersuara menentang kesatuan itu.

Akhirnya projek Melayu Raya itu gagal, disebabkan tali barut tali barut yang berkhidmat menjadi keldai British. Apa yang mereka dapat kalau bukan tanah kubur?

(5)     Perlu kaji frame Barat menjahanamkan banyak negara. Framenya sama. Tak banyak berubah. Cuma kita sebagai Umat Islam tak perlu jadi alat Amerika.

Tukar sentimen kepada kefahaman

(1)     Sebab itulah kita perlu tukar cara, daripada sentimen kepada kefahaman. Amerika sentiasa persembahkan dirinya sebagai tokoh keamanan.

Kerana tindakan-tindakan kejam mereka dengan menggunakan proksi atau memperalatkannya. Kalau dahulu Kolonialisasi adalah kekejaman Barat terhadap Afrika.

Namun hari ini Neo-Kolonialisasi ialah kekejaman orang Afrika yang menjadi proksi Barat, terhadap orang Afrika sendiri. Ini hanya sekadar contoh frame Barat yang perlu kita faham.

(2)     Sekarang ini sudah tular promosi Boikot Sukan Olimpik China 2022 atas alasan isu penindasan terhadap Uyghur. Siapa punya kerja?

Di saat kita di Malaysia dikencing oleh DAP, bukan senang untuk lepaskan diri kita daripada sentimen China. Maka, perlu lepaskan sentimen dan luruskan kefahaman.

(3)     Bimbang Umat Islam saban hari hanya terikut dengan rentak Barat menguasai dunia. Tidak pandai mengkaji dan gelojoh dalam tindakan.

(4)     Pada 2009, Erdogan telah mengecam China dalam isu penindasan terhadap Uyghur. Kita tak sambut isu ini mungkin kerana tak ikuti perkembangan antarabangsa.

Hari ini, dalam isu Uyghur, Erdogan tak segarang dahulu. Mungkin 2009 dahulu media pendamkan hal ini dan hari ini baru mereka sebarkan.

Tapi kita pula baru nak tunjuk taring kerana dihidangkan segala macam video oleh media. Nampak sangat kita terikut dengan sentimen yang ditiupkan oleh media. Fikirkanlah. – HARAKAHDAILY 19/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -