Kerajaan mesti haramkan Sugarbook di Malaysia

- Advertisement -

SEBUAH aplikasi Android Sugarbook yang jelas mempromosikan maksiat dan pelacuran dengan berani menaikkan papan iklan atau billboard mereka di Kawasan Bangsar dan Bukit Kiara.

Aplikasi yang telah dimuat turun sehingga lebih 10,000 pengguna itu sudah pasti menjadi petanda negatif yang bakal terus berleluasa dalam negara jika diabaikan oleh pihak berwajib.

Apa yang mengecewakan dan mengguris hati umat Islam seluruh Malaysia apabila pengasasnya, Darren Chan menyatakan bahawa “In Sugar dating, sex is optional”. Ianya satu kenyataan yang dangkal. Dalam Islam, segala aktiviti yang boleh mendekatkan diri kepada penzinaan itu sendiri diharamkan. Allah berfirman di dalam surah al-Isra ayat 32:

- Advertisement -



وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”



Islam sebagai agama yang sentiasa mengangkat tinggi martabat dan maruah wanita tidak sama sekali mengizinkan budaya merendahkan maruah wanita ini dibuka ruang seluasnya. Ia perlu disekat dan diharamkan.

Kami juga memuji pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah mengeluarkan arahan agar iklan ini segera diturunkan. Pihak Yayasan Wilayah Persekutuan dan Tetuan Out of Home sebagaimana yang dinyatakan dalam kenyataan rasmi DBKL berhubung perkara ini mesti bertanggungjawab sepenuhnya. Ini suatu perbuatan biadap dan mereka mesti didakwa.

Untuk itu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Lembah Pantai sekali lagi dengan tegas menyatakan agar pihak Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengharamkan aplikasi ini di Malaysia dan papan iklan tersebut mesti diturunkan dengan segera. Usah mencabar kami dengan tindakan seterusnya.

AKRAM IKRAMI TAIB AZAMUDDEN
Ketua Pemuda PAS Lembah Pantai – HARAKAHDAILY 19/12/2019

- Advertisement -