Jangan promosi pintu maksiat

- Advertisement -

PIHAK DBKL telah menerima aduan berkenaan paparan iklan LED yang dikatakan berunsur lucah. Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, paparan iklan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pihak DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Aneh juga bagaimana iklan berunsur maksiat yang tidak mendapat kelulusan itu boleh dipamerkan secara terbuka buat tatapan awam. Iklan berunsur maksiat ini boleh menjadi proses normalisasi terhadap dosa. Dibimbangi masyarakat akan menjadi biasa melihat perkara yang secara jelas boleh mendedahkan Muslim kepada zina sehingga mereka merasakan tiada apa-apa dengan kerosakan ini.

Rasulullah S.A.W sangat menjaga Sahabat daripada terdedah dengan pintu maksiat. Dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, Rasulullah S.A.W dilihat akan duduk seketika setelah selesai solat. Ini adalah bagi memberi ruang kaum wanita supaya beredar dahulu setelah solat. Perkara ini dilakukan oleh Rasulullah S.A.W adalah bagi mengelakkan percampuran atau perselisihan antara lelaki perempuan yang mungkin berlaku setelah selesai solat. Al-Bukhari merekodkan:

- Advertisement -



عن أم سَلَمَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَلَّمَ قَامَ النِّسَاءُ حِينَ يَقْضِي تَسْلِيمَهُ وَمَكَثَ يَسِيرًا قَبْلَ أَنْ يَقُومَ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ فَأُرَى وَاللَّهُ أَعْلَمُ أَنَّ مُكْثَهُ لِكَيْ يَنْفُذَ النِّسَاءُ قَبْلَ أَنْ يُدْرِكَهُنَّ مَنْ انْصَرَفَ مِنْ الْقَوْمِ

“Daripada Ummu Salamah, beliau berkata, Rasulullah S.A.W akan duduk seketika setelah memberikan salam setelah selesai solat. Para wanita akan bangun setelah Baginda S.A.W memberi salam. Menurut Ibn Syihab, tindakan Rasulullah S.A.W ini adalah bagi memberikan laluan bagi wanita keluar dahulu dan mengelakkan perselisihan (percampuran, pertembungan) antara lelaki dan wanita (setelah selesai solat).”



Menurut al-Imam Abu Daud pula, Baginda S.A.W juga pernah mengkhususkan satu pintu khas bagi wanita. Ini juga adalah bagi mengelakkan percampuran berlaku antara lelaki dan wanita. Ini juga bagi menutup ruang dosa. Sabda Rasulullah S.A.W:



وعَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ تَرَكْنَا هَذَا الْبَابَ لِلنِّسَاءِ قَالَ نَافِعٌ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ ابْنُ عُمَرَ حَتَّى مَاتَ”

“Daripada Ibn Umar, Rasulullah S.A.W bersabda: Alangkah baiknya sekiranya kita biarkan pintu ini dikhususkan untuk wanita sahaja. Berkata Nafi (anak murid Ibn Umar), setelah mendengar kata-kata Rasullah S.A.W itu, Ibn Umar tidak pernah memasuki pintu itu sehinggalah beliau meninggal.”



Mereka yang berurusan dengan masjid ini, pada andaian kita barangkali mereka adalah golongan yang mempunyai keadaan hati yang baik. Namun, walaupun dalam keadaan iman atau hati yang baik di masjid ini, Rasulullah S.A.W tetap bertegas mengasingkan mereka kerana dibimbangi akan ditimpa fitnah maksiat dan dosa.

Bahkan dalam Quran, Allah secara jelas menyatakan bahawa, Allah mendidik Muslim supaya mencintai iman dan membenci dosa. Firman Allah S.A.W:



وَلَٰكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الْإِيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الرَّاشِدُونَ.

“Akan tetapi Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran, perbuatan fasik serta perbuatan derhaka (dosa) itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus.”

(al-Hujurat: 7)



Justeru, jangan dibuka ruang untuk pintu maksiat. Biarpun mereka mengatakan iklan tersebut hanyalah iklan untuk bersosial atau proses match-making, namun implikasi sampingannya adalah kerosakan. Ia tidak lain hanyalah aktiviti mungkar dengan format yang berbeza.

Semoga Allah membimbing kita.

DR. AHMAD SANUSI AZMI

Rujukan
1. https://www.sinarharian.com.my/article/62427/BERITA/Nasional/DBKL-arah-iklan-cari-sugardaddy-ditarik-serta-merta

2. https://www.malaysiakini.com/news/504083

3. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/12/527363/iklan-sugar-daddy-ditarik-balikHARAKAHDAILY 19/12/2019

- Advertisement -