Rumah tenggelam hingga ke paras siling

Masjid di Panglima Bayu Tanah Merah ditenggelami banjir.
- Advertisement -

JELI: Hujan agak lebat bermula jam 11 malam tadi menyebabkan Sungai Pergau dan Sungai Golok melimpah menenggelamkan rumah di kawasan rendah.

- Advertisement -

Paling banyak rumah penduduk tenggelam di Kampung Jeli Lama, kenderaan mereka juga tidak sempat diselamatkan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kub berkata, ada rumah yang tenggelam sehingga paras siling.

Katanya hujan begitu lebat bermula jam 11 malam tadi menyebabkan air sungai melimpah dengan begitu cepat.

“Hujan sebenarnya bermula semalam lagi, namun makin lebat hampir tengah malam tadi. Sekarang hujan masih turun dengan renyai-renyai,” katanya di sini. Beliau tinggal di Ayer Lanas.

Difahamkan laluan yang terkandas di Kampung Rahmat dan Nibung mulai dibuka selorong kepada kenderaan tengah hari tadi.

Abdullah juga berkata, Penyelia Dun dan penghulu-penghulu bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Petugas juga membantu mangsa-mangsa banjir yang mana rumah mereka tenggelam untuk dipindahkan ke PPS bagi memudahkan pemantauan agensi kerajaan dan pasukan keselamatan,” katanya.

Sehingga jam 11.15 pagi tadi seramai 1,408 mangsa daripada 574 keluarga di Jeli ditempatkan di 11 PPS.

Sementara itu portal berita melaporkan seorang lelaki dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus deras di perkarangan rumahnya di Kampung Renak, Bukit Bunga pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Jeli, Mohd Adni Ibrahim dilapor berkata, dalam kejadian jam 9 pagi itu, Suhaimi Ismail, 57, dijumpai lemas kira-kira 200 meter dari rumahnya.

Mangsa seorang pesara dipercayai cuba menyelamatkan diri kerana rumahnya ditenggelami air setinggi 1.5 meter.

Mayatnya ditemui penduduk kampung kira-kira satu jam kemudian. – HARAKAHDAILY 18/12/2019

- Advertisement -