Isunya jauh lebih besar daripada hanya ‘billboard’

TheSugarbook 'Sugar Daddy dating platform'

- Advertisement -

HEBOH sekejap dalam media sosial bila ada yang terperasan kewujudan billboard TheSugarbook, iaitu Sugar Daddy Dating App, di Bangsar (dalam Parlimen Lembah Pantai yang diwakili oleh Fahmi Fadzil dari PKR) dan Mont Kiara (dalam Parlimen Segambut yang diwakili oleh Hannah Yeoh dari DAP) hingga menyebabkan ia segera diturunkan.

- Advertisement -

Malangnya, tidak ramai yang tahu bahawa TheSugarbook ini telah lama bertapak di Malaysia bila ia diasaskan oleh seorang warganegara Malaysia berusia 31 tahun bernama Darren Chan dengan bantuan dana dari Hong Kong. Website tersebut dilancarkan pada Disember 2016 dan App pula dimuat turun pada Oktober 2017 dengan keahlian awal 65,000 orang.

(Rujuk di sini: https://beamstart.com/content/8388/Where_Romance_Meets_Finance__Interview_with_Darren_Chan_of_TheSugarBook)

Pada 13 Februari 2019, Darren menyebut keahlian TheSugarbook waktu itu adalah lebih 300,000 orang dengan majoriti datang daripada Malaysia, Amerika Syarikat, Singapura dan Filipina. Kira-kira 70 peratus adalah ‘Sugar Babies’ yang mencari ‘Sugar Daddies’ manakala kira-kira 30 peratus adalah ‘Sugar Daddies’ yang mencari ‘Sugar Babies’.

Mengikut Darren, ‘Sugar Babies’ umumnya berusia antara 21 dan 26 tahun serta menerima elaun bulanan daripada ‘Sugar Daddies’ yang umumnya berusia antara 30 dan 45 tahun. Kebanyakan ahli TheSugarbook adalah berbangsa Cina tetapi ramai juga daripada mereka adalah berbangsa Melayu. Kata beliau, tak susah sebenarnya beroperasi di Malaysia.

(Rujuk di sini: https://themalaysianreserve.com/2018/10/29/when-romance-spells-finance/)

Mengikut Darren lagi, prinsip yang digunapakai di TheSugarbook adalah wanita berhak kepada kebebasan untuk memilih. ‘Sugar dating’ tak sama dengan pelacuran kerana tidak menjadi kewajiban untuk ‘Sugar Babies’ melakukan seks, ia sebaliknya hanyalah cara mempertemukan mereka yang memerlukan wang dan yang memerlukan teman.

(Rujuk di sini: https://www.malaymail.com/news/life/2018/07/19/in-sugar-dating-sex-is-optional-says-sugarbook-creator/1653932)

TheSugarbook mula mendapat perhatian bila video dua ‘Sugar Babies’ yang memperolehi ‘Sugar Daddies’ melalui website itu dimuatnaik oleh Rojak Daily di mana hingga kini video ini mendapat 239,870 tontotan, diikuti oleh siaran langsung Astro AEC ke atas TheSugarbook pada 11 Januari 2018 yang hingga kini mendapat 696,301 tontotan.

(Rujuk di sini: https://www.facebook.com/watch/?ref=external&v=1793724420918349 dan di sini: https://www.facebook.com/watch/?v=1594549273957921)

TheSugarbook seterusnya mendapat liputan The Star pada 18 Januari 2018 yang menulis mengenai ‘program pelajar’nya yang memberi cara moden kepada pelajar untuk mengatasi masalah pinjaman pelajaran dengan memberikan kemudahan tertentu kepada mereka yang mendaftar menggunakan email universiti atau bukti kemasukan ke universiti.

Jurucakap Kementerian Pengajian Tinggi yang diminta komen mengenainya pula dilaporkan berkata bahawa pihaknya sedang mengkaji sama ada apa-apa tindakan boleh dikenakan ke atas ‘program pelajar’ TheSugarbook dan menasihatkan pelajar supaya menggunakan cara yang sesuai dan mengikut undang-undang untuk membiayai pengajian mereka.

(Rujuk di sini: https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/01/18/engaging-factors-in-online-dating-platform)

Masa sama, The Star juga melaporkan pandangan Foong Cheng Leong dari Majlis Peguam yang menyebut walaupun perlakuan TheSugarbook dan penggunanya tidak bermoral, tetapi tidak bermoral tidak semestinya tidak mengikut undang-undang manakala jurucakap SKMM pula menyebut menyedia dan menggunakan khidmat dalam talian tidak salah.

Begitupun, Datuk Khutubul Zaman Bukhari yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang Syariah Majlis Peguam menyebut jika seseorang Islam menyertai sebagai seorang ahli dalam website itu dan mengambil bahagian di dalamnya maka orang itu mungkin menyalahi peraturan yang berkaitan dengan moral dan kesopanan.

(Rujuk di sini: https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/01/18/a-raw-nerve-hit-but-no-laws-broken)

Di Singapura pula, kegiatan TheSugarbook mendapat kritikan keras dua Ahli Parlimennya, iaitu Seah Kian Peng dan Tin Pei Ling, selain Presiden Pertubuhan Majlis Wanita Singapura, June Goh, yang mendorong Menteri Sosial dan Pembangunan Keluarga Singapura, Desmond Lee, mengumumkan pada 5 Februari 2018 kerajaan akan memantau aktivitinya.

(Rujuk di sini: https://theculturetrip.com/asia/malaysia/articles/people-are-outraged-by-southeast-asias-sugar-daddy-dating-site/ dan di sini: https://www.channelnewsasia.com/news/singapore/police-will-keep-close-eye-on-dating-platforms-like-thesugarbook-9927792)

Begitulah seterusnya sehingga TheSugarbook mendapat lonjakan melalui suntikan dana pelabur dari Hong Kong pada akhir 2018 yang mendorong ia makin galak mengembangkan sayapnya ke negara lain selain meluaskan aktiviti dalam negaranya, termasuk menganjurkan Masquerade Party di Suzie Wong Club, Jalan Raja Chulan, pada 31 Mei 2019.

(Rujuk di sini: https://www.techinasia.com/sugar-daddy-app-sugarbook-funding-for-expansion, di sini: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=10157711636611495&id=586136494 dan di sini: https://liveatpc.com/theres-a-sugar-daddy-dating-platform-in-malaysia-who-wouldve-thought/)

Begitu juga dengan strategi pemasaran TheSugarbook yang agresif melalui media massa sehinggalah Darren mengumumkan pada 23 November 2019 kegembiraan beliau kerana berjaya menembusi Agensi Berita Nasional Malaysia, BERNAMA, seterusnya TheSugarbook mengumumkan pada 3 Disember 2019 pembinaan dua billboard itu.

(Rujuk di sini: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=10158184885046495&id=586136494 dan di sini: https://sugarbook.com/blog/our-very-first-billboard)

Memasuki website TheSugarbook sekejap tadi, saya merasa amat sedih dan sayu sekali bila melihat begitu banyak nama-nama dan wajah-wajah gadis Melayu, termasuk yang pastinya beragama Islam kerana masih bertudung, yang menjadi ahli TheSugarbook dan yang tanpa segan silu mengiklankan hasrat menjadi ‘Sugar Babies’ kepada ‘Sugar Daddies’.

Sebegitu terukkah maruah gadis-gadis Melayu Islam kini?

Dan sesungguhnya siapakah yang bersalah dalam hal ini?

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 18/12/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -