Isu Uyghur: Seruan Solat Hajat, Qunut Nazilah

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegaskan bahawa isu yang menimpa ke atas umat Islam etnik Uyghur merupakan kewajipan seluruh umat Islam di dunia yang menjadi keutamaan pada masa ini selain isu penindasan di Palestin serta konflik di Syria.

Isu pembantaian umat Islam etnik Uighur di Barat China seakan dipandang sepi oleh dunia pada masa kini malah negara-negara umat Islam yang ada dilihat lemah kerana dilihat tiada satu tindakan tegas yang mampu dikenakan ke atas Kerajaan China bagi tujuan membantu dan menyelamatkan nyawa umat Islam etnik Uyghur sekarang ini setelah ribuan yang telah terkorban.

Menjadi kewajipan ke atas negara-negara umat Islam di seluruh dunia untuk bangkit mempertahankan hak dan menyelamatkan nyawa umat Islam etnik Uyghur yang dizalimi dan dibunuh. Jangan hanya kerana ia tidak berlaku di tempat kita dan tiada kepentingan kita yang terjejas maka negara umat Islam berdiri diam tanpa mengambil apa-apa tindakan.

Dari al-Barra’ bin Azib R.A, Nabi S.A.W bersabda;

- Advertisement -



لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ قَتْلِ مُؤْمِنٍ بِغَيْرِ حَقٍّ

“Hilangnya dunia, lebih ringan bagi Allah dibandingnya terbunuhnya seorang mukmin tanpa hak.”

(an-Nasai , at-Tirmidzi)


DUPP menggesa agar Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang akan bersidang bermula 18 Disember 2019 ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mampu dimanfaatkan sebagai platform yang memikul agenda besar umat Islam termasuk isu yang melibatkan pembantaian umat Islam etnik Uyghur bagi mencapai resolusi untuk tindakan bersama negara-negara umat Islam di seluruh dunia.

Firman Allah S.W.T:



وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالْغَيْبِ ۚ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ

“Dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

(al-Hadid: 25)



DUPP juga menyeru kepada semua umat Islam untuk mengadakan Solat Hajat khas buat saudara seakidah kita, umat Islam etnik Uyghur agar diberikan kekuatan dan bantuan pertolongan dari Allah S.W.T serta saranan membaca Qunut Nazilah agar Allah S.W.T mengalahkan dan menghancurkan musuh-musuh Islam yang zalim lagi ekstrem.

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh) – HARAKAHDAILY 18/12/2019

- Advertisement -