Hentikan penindasan etnik Uyghur

- Advertisement -

DEWAN Muslimat PAS Malaysia mengutuk sekerasnya kekejaman China ke atas Muslim etnik Uyghur di Wilayah Xinjiang yang ditindas dengan penuh kezaliman tanpa perikemanusiaan dan dipaksa untuk mengubah pemikiran dan pegangan agama.

Kami menyeru dan mengajak seluruh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam agar mendoakan kesejahteraan dan kekuatan buat saudara Muslim kita di sana. Sesungguhnya penindasan yang mereka lalui tak tercapai dek akal, semoga Allah S.W.T membalas kejahatan dan kezaliman China dengan pembalasan yang setimpal.

Di samping kita solat hajat dan berdoa, kami menggesa pihak Kerajaan Malaysia menyatakan pendirian tegas terhadap isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu Muslim Uyghur.

Dengan teknologi yang ada, sewajarnya kita menyebarluaskan fakta-fakta penindasan dan kekejaman China ini melalui media sosial dan media arus perdana agar satu dunia tahu betapa usaha penghapusan Muslim etnik Uyghur berlaku dengan penuh perancangan dan berterusan.

Selain itu, usaha kecil juga yang boleh sama-sama kita laksanakan adalah dengan memboikot produk keluaran China yang sememangnya berleluasa di Malaysia dan sukar dielak serta perancangan untuk melancong ke sana. Mudah-mudahan dengan usaha yang berterusan dan bersepadu, ianya sedikit sebanyak akan melumpuhkan ekonomi China.

Sekali lagi, marilah sama-sama kita membaca Qunut Nazilah khusus buat saudara Muslim yang ditindas tidak kira walau di manapun mereka berada.

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
18 Disember 2019 bersamaan 21 Rabiulakhir 1441 – HARAKAHDAILY 18/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -