Banjir: Patuhi arahan pihak berkuasa

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menasihati orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk berpindah bagi mengelak sebarang risiko ketika banjir.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, orang ramai perlu berhati-hati dan patuhi semua arahan pihak berkuasa ketika menghadapi banjir gelombang kedua ini.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat exco, di MABNA Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Amar berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan banjir yang mula melanda di negeri ini bermula malam tadi.

Beliau berkata, sekiranya saat akhir mangsa banjir membuat persiapan untuk berpindah, ianya akan menjadi masaalah.

“Sama ada masaalah pengangkutan, air semakin deras dan berbagai lagi kemungkinan yang tidak dijangka.

“Kerana itu sentiasa bersiap sedia untuk berpindah khususnya kawasan yang mudah ditenggelami air dan elak berpindah waktu malam,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga keselamatan kanak-kanak dan warga emas.

Sehingga jam 3.00 petang tadi sebanyak enam jajahan telah terlibat dengan banjir dengan mangsa keseluruhan yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara PPS berjumlah 2,903 orang.

Jajahan terlibat Jeli, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Putih dan Tanah Merah.– HARAKAHDAILY 18/12/2019

- Advertisement -