7 fakta isu pembalakan Kelantan

- Advertisement -

SAYA menghormati pandangan seorang ‘speaker’ jemputan di ML Studios, dan sebenarnya saya turut berkongsi ‘concern’ yang sama tentang isu pembalakan di Kelantan.

Secara umumnya segala teguran yang diberikan adalah amat baik, cuma ada beberapa perkara yang perlu diperbetulkan, antaranya:

Fakta 1:     Kelantan negeri ‘terbesar’ membuka hutan simpan untuk pembalakan.

–     Sila rujuk Laporan Tahunan 2017 Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (m/s 74, 77, 94, 96, 107):
–      Pada tahun 2017, Pahang mencatatkan jumlah pengeluaran balak tertinggi (1,812,223 m3), berbanding Kelantan (670,409 m3)
–      Pada tahun 2017, Pahang mencatatkan keluasan tertinggi ‘Catuan Tebangan Tahunan’ yang diluluskan daripada rizab Hutan Simpan Kekal (13,687 ha), berbanding Kelantan (5,417 ha)
–      Pada tahun 2017, Pahang mencatatkan keluasan tertinggi ‘Harvested Area’ daripada keseluruhan Kawasan Hutan (37,623 ha), berbanding Kelantan (12,879 ha)
–      Pada tahun 2017, keluasan baharu Hutan Simpan Kekal di Kelantan (diwartakan dan akan diwartakan) berjumlah 633,656 ha, meningkat berbanding 629,687 ha pada tahun 2007.

Fakta 2:      Kerajaan Kelantan ‘malas’ untuk mencari sumber hasil, bergantung kepada hasil balak.
–      Nisbah Hasil Hutan daripada Keseluruhan Hasil dalam Belanjawan Kelantan menurun daripada 28 peratus (2017) kepada 16 peratus (2020), menunjukkan komitmen Kelantan untuk meneroka sumber baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil hutan.

Fakta 3:     Aktiviti pembalakan di Kelantan melanggar SOP.

–      Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan menegaskan pihaknya sentiasa mematuhi SOP berdasarkan peraturan (Kaedah-kaedah Hutan) yang berkuatkuasa di Negeri Kelantan, di samping pematuhan prinsip integriti yang tinggi (rujuk Kenyataan Akhbar bertarikh 4 Oktober 2019).
–     Pihaknya turut menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu, membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan.

Fakta 4:     Banjir di Kelantan kerana pembalakan.

–     Banjir di Kelantan, dan terbaharu banjir yang melanda beberapa negeri di Selatan Semenanjung, boleh berlaku disebabkan taburan hujan yang tinggi akibat peralihan monsun, peningkatan paras sungai secara mendadak, serta sistem saliran dan perparitan yang tidak baik.
–     Sebolehnya kita mahu mengurangkan risiko banjir yang menjejaskan kehidupan rakyat dan ekonomi negeri, sedaya mampu.

Fakta 5:     Aktiviti kebudayaan boleh menjadi hasil Kerajaan Negeri.

–     Aktiviti kebudayaan dan pelancongan boleh merancakkan Ekonomi Negeri (KDNK), namun segala hasil dan cukai daripada sektor perkhidmatan (e.g. SST, profit tax, income tax, tourism tax) akan dipungut oleh Kerajaan Persekutuan, bukan Kerajaan Negeri.
–     Pertumbuhan KDNK 2018 bagi Negeri Kelantan disumbangkan oleh sektor perkhidmatan (70 peratus), diikuti sektor pertanian (23 peratus) dan pembuatan (5 peratus).

Fakta 6: Kelantan negeri yang kotor.

–     Kualiti kebersihan di premis dan tempat awam di Kelantan sudah bertambah baik, melalui aktiviti kempen, penguatkuasaan dan prasarana menyeluruh di bawah program ‘Kelantan Bersih’, yang sudah mula menunjukkan perubahan yang positif.

Fakta 7:     Video dahulu tiada fakta, dan cuba mempertahankan Kelantan.

–     Video terdahulu di ML Studios bukanlah suatu pembentangan fakta, tetapi bertujuan untuk mengajak kita berfikir secara rasional, serta perlu merujuk fakta yang sahih daripada sumber rasmi apabila timbul sesuatu isu (Contoh Jabatan Perhutanan, Jabatan Audit, SPRM, Pejabat Menteri Besar, Penyata Sidang DUN).

Sekian respons ringkas saya, dan sedikit pesanan saya kepada para kenalan di luar sana, jemputlah bertandang ke Negeri Kelantan dengan mata dan hati yang lebih terbuka.

SYAHIR SULAIMAN, 18 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 18/12/2019


- Advertisement -
- Advertisement -