Rancakkan ekonomi, bukan kurangkan penjawat awam

- Advertisement -

PAS meminta Kerajaan Persekutuan merancakkan ekonomi terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan mengurangkan saiz penjawat awam. Jumlah saiz perjawatan awam sekarang ialah 1.57 juta orang atau 4.9 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia. Sewajarnya jumlah perjawatan awam yang perlu diisi ialah 1.7 juta orang. Hal ini bermakna lebih kurang 9 peratus lagi kekosongan yang perlu diisi dengan segera. Oleh itu, tidak timbul isu pengurangan saiz perjawatan awam.

- Advertisement -

Sebenarnya, Kerajaan Persekutuan harus memikirkan mekanisme yang terbaik untuk menyelesaikan jumlah penganggur seramai 512,000 orang. Seramai 51,000 graduan masih belum mendapat pekerjaan selepas setahun tamat pengajian. Malah, sehingga September 2019, seramai 24,600 pekerja swasta telah diberhentikan kerja. Perkara ini tidak termasuk sejumlah pekerja profesional Malaysia yang akan kembali semula untuk berkhidmat di Malaysia.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada Suku Ketiga 2019 4.4 peratus berbanding 4.9 peratus dan ia dijangka berada sekitar 4.6 peratus sehingga 2020. Unjuran ekonomi tahun 2020 tidak menunjukkan tanda-tanda lebih baik malah akan lebih mencabar. Harga runcit petrol akan naik, tarif air akan naik dan kadar sewa rumah juga turut naik. Keadaan ini akan terus menekan rakyat khususnya mereka yang berada dalam lingkungan M40 dan tinggal di kawasan bandar.

Rakyat perlu sokongan ekonomi untuk meneruskan kelangsungan hidup. Jika saiz perjawatan awam dikecilkan dan sektor swasta juga tidak dirangsang untuk melabur, apakah nasib yang akan dihadapi oleh rakyat? Sepanjang 19 bulan Pakatan Harapan mentadbir negara, polisi ekonomi yang digarap tidak jelas. Pemasalahan pokok gagal diselesaikan dan ditambah pula dengan pelbagai masalah baharu.

Sekian, terima kasih.

YB HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 17/12/2019

- Advertisement -