Tommy Thomas: Berundurlah secara terhormat

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menegaskan bahawa Tan Sri Tommy Thomas perlu segera mengosongkan kerusi Peguam Negara ekoran tindakan yang tidak professional dan memalukan sepanjang menjawat jawatan itu.

Tommy yang dilantik pada 2018 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan sering kali melakukan tindakan yang tidak melambangkan jati diri sebagai seorang Peguam Negara. Peranan Peguam Negara yang sepatutnya menjadi benteng kepada kedaulatan negara dan keselamatan rakyat ternyata gagal dilaksanakan.

Antara tindakan dan pendirian Tommy Thomas yang memalukan institusi kehakiman negara:

1.     Menggugurkan dakwaan rasuah Lim Guan Eng dan Phang Li Koon yang sedang dalam perbicaraan.

2.     Mengetepikan Majlis Raja-raja dalam isu meratifikasi Statut Rom dan memberi cadangan yang salah kepada kerajaan dalam isu yang sama.

3.     Memfailkan saman sivil bagi pihak Kerajaan Persekutuan ke atas Kerajaan Negeri Kelantan dalam isu tanah Orang Asli. Sedangkan isu berkenaan tanah dan hutan adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri yang dijamin dalam Perlembagaan Negara.

4.     Gagal menyediakan salinan dokumen kepada pasukan pembelaan Dato’ Seri Najib Razak yang mengakibatkan kes berprofil tinggi itu terpaksa ditangguhkan.

5.     Memfailkan afidavit bahawa arwah Adib meninggal dunia bukan sebab dipukul sedangkan kes arwah Adib masih dalam perbicaraan.

6.     Mengarahkan Nor Syazlin Mansor, peguam yang mengatakan arwah Adib dipukul supaya digugurkan bagi mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kes inkues arwah Adib. Sebaliknya, menggantikan dengan peguam daripada pejabatnya sendiri.

7.     Dirakam menari di dalam majlis sosial bersama peguam kontroversi, Siti Kassim dan Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum.

8.     Menarik balik rayuan terhadap Rafizi Ramli dan mengaibkan pegawai bawahannya atas rayuan yang kononnya dibuat di luar pengetahuan.

9.     Menyatakan untuk mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawainya yang telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membebaskan Rafizi Ramli.

10.     Terkini, pada 13 Disember 2019 lalu, Tommy tidak membuat rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Seksyen 13 SOSMA sebagai tidak berperlembagaan. Seksyen ini tidak membenarkan ikat jamin kepada mereka yang dituduh di mahkamah di bawah prosedur SOSMA.

Selain perkara yang dinyatakan di atas, lebih parah Tommy juga mempunyai masalah moral dari sudut pemikiran. Contohnya, sebelum dilantik menjadi Peguam Negara, Tommy pernah mengemukakan bahawa perlakuan homoseks tidak patut dianggap sebagai satu kesalahan jenayah kerana masyarakat tidak menganggapnya sebagai perbuatan jenayah. Hal ini memperlihatkan bagaimana pola pemikiran Tommy yang Liberal dan langsung tidak menepati norma masyarakat di Malaysia.

Lebih serius, Tommy juga pernah mempunyai hubungan rapat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan pernah menjadi peguam kepada Chin Peng dan PKM. Pendiriannya yang mendesak Kerajaan Malaysia membenarkan mayat Chin Peng ditanam di kawasan Malaysia telah mengundang kemarahan rakyat Malaysia. Malahan kenyataannya yang mengiktiraf Chin Peng sebagai ‘one of the great liberation fighters’ dan ‘a major contributor to Merdeka’ adalah satu pengkhianatan terbuka yang merobek hati para pejuang kemerdekaan negara kita.

Rakyat Malaysia sekali-kali tidak akan berkompromi dengan soal kredibiliti, apatah lagi ini perkara yang lebih serius berkaitan dengan maruah dan kedaulatan negara. Amat malang kepada rakyat Malaysia apabila menyerahkan nasib negara ke tangan individu seperti ini. Itu belum termasuk penguasaan beliau yang lemah dalam Bahasa Kebangsaan.

Jika sistem kehakiman negara ingin dihormati, Tommy Thomas sila berundur dari kerusi Peguam Negara dengan segera sebelum desakan gelombang kebangkitan rakyat akan tegas menyatakan bantahan.

‘Islam Memimpin Perpaduan
‘Muafakat Nasional, Membina Malaysia Sejahtera’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
16 Disember 2019 | 18 Rabiulakhir 1441 – HARAKAHDAILY 16/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -