Muafakat Nasional: Umpama keris menikam PH

Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
- Advertisement -

MUAFAKAT Nasional adalah manifestasi pendekatan ‘ta’awun’ yang diperkenalkan oleh PAS menjelang PRU lalu; iaitu satu konsep siyasah yang berteraskan sikap saling membantu dalam hal kebaikan berasaskan taqwa serta bertegas dalam perkara kemungkaran.

Komitmen PAS menterjemahkan konsep ta’awun, akhirnya menatijahkan Himpunan Penyatuan Ummah yang dihadiri oleh puluhan ribu ahli dan penyokong PAS dan Umno di bangunan PWTC, Kuala Lumpur. Dalam peristiwa bersejarah itu juga, maka lahirlah Muafakat Nasional pada 14/9/19 diantara PAS dan Umno.

Hakikatnya, laluan dan rintangan yang ditempuhi tidak semudah disangka.

Di antara rintangan besar yang terpaksa dilalui oleh PAS ialah bagaimana mendapatkan kepercayaan ahli bagi meneruskan agenda tersebut serta kaedah memberikan kefahaman kepada akar umbi.

Sebagai langkah awal mendapatkan kepercayaan ahli, PAS menerima dan membahaskan Usul dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS 2019 mengenai konsep ta’awun. Penerimaan sebulat suara mengenai Usul tersebut telah membuka laluan kepada kepimpinan menjalinkan hubungan dengan mana-mana parti politik asalkan parti berkenaan dapat menerima wadah politik Islam yang dibawa oleh PAS.

Presiden parti serta kepimpinan PAS tidak jemu-jemu turun bertemu ahli seluruh negara memberikan kefahaman tentang peri penting penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional dalam menongkah arus politik tanah air.

Lihat sahaja beberapa PRK mutakhir ini yang berpihak kepada calon-calon berbajukan Muafakat Nasional apabila berjaya menewaskan PH dengan penuh bergaya. Contoh terakhir adalah PRK Tg. Piai majoriti undi tidak kurang daripada 15 ribu.

Justeru itu, menjadi tanggungjawab kepada setiap ahli PAS menjiwai konsep ta’awun yang sedang dilagang oleh PAS. Muafakat Nasional yang merupakan cerminan amalan ta’awun umpama keris tajam menghiris dan menikam PH. Tentunya PH tidak senang duduk dan sentiasa mengintai ceruk lubang bagi memporak-poranda hubungan di dalam Muafakat Nasional khususnya hubungan PAS dan Umno. Hingga ke saat itu, sentiasalah waspada.

DR. AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -