‘Jangan makan beras luput tarikh’ – Dr Azman

    - Advertisement -

    SETIU: Rakyat perlu menyedari dan memahami mengenai kepentingan ‘Food Security’ terutamanya melibatkan makanan asasi demi kesihatan diri dan keluarga.

    - Advertisement -

    Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, memperbesarkan produk dari luar berbanding negara sendiri tanpa mengkaji terlebih dahulu seolah-olah menjadi trend masa kini.

    Menurutnya, perkara itu begitu membimbangkan kerana ia membabitkan aspek jaminan makanan setiap rakyat yang akhirnya boleh membawa kepada kemerosotan kesihatan.

    “Contoh beras di Thailand. Selepas dikilangkan, beras mesti habis dijual dalam tempoh tiga bulan sahaja.

    “Selepas itu ia dianggap beras yang tidak lagi berkualiti untuk dimakan oleh manusia dan mesti dilupuskan sebagai makanan ternakan. Tetapi, saya yakin bahawa bukan semua ‘beras luput’ ini dijadikan makanan ternakan.

    “Saya bimbang orang Thailand sudah tidak makan tetapi kita di Malaysia yang rasa hebat apabila boleh makan beras Siam,” ujarnya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya semalam.

    Tambahnya lagi, masyarakat seharusnya mengambil berat soal kualiti makanan harian berbanding dengan hanya sekadar mengikut trend dan memilih beras yang berharga murah semata-mata.

    Berikutan perkara tersebut, ia meningkatkan lagi keazaman Kerajaan Terengganu untuk menghasilkan padi beras negara supaya rakyat mendapat bekalan yang berkualiti dan keluaran negara sendiri.

    “Tak perlu bangga dengan produk makanan asasi keluaran negara orang. Ini satu lagi makna ‘food security’ yang perlu difahami rakyat kita,” katanya lagi setelah mengadakan lawatan dan perbincangan dengan pihak terlibat dalam industri padi beras di Thailand, Jumaat lalu. – HARAKAHDAILY 16/12/2019

    - Advertisement -