Gelombang AKIFI serikan lawatan ke Nasyrul Quran

    - Advertisement -

    PUTRAJAYA: Gelombang AKIFI dan lawatan ke Kompleks Nasyrul Quran anjuran Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan telah dilaksanakan di sini kelmarin.

    - Advertisement -

    Program dengan kerjasama Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Muslimat PAS Malaysia ini bertujuan menyemarakkan majlis zikir sambil mengeratkan hubungan dengan masyarakat khususnya golongan wanita.

    Antara yang hadir ialah Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh serta Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka dan Hal Ehwal Orang Asal Muslimat PAS Malaysia, Norazlin Samsudin.

    Seramai kira-kira 100 peserta melibatkan diri pada program ini terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Malaysia dan Wilayah Persekutuan serta Gombak, selain daripada para penduduk setempat.

    Peserta telah dibawa melihat sendiri proses cetakan Al Quran dan artifak-artifak sejarah di sini sebelum majlis diteruskan dengan solat Maghrib, bacaan Yaasiin, solat hajat, dan zikir munajat secara berjemaah.

    Pihak Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Muslimat PAS Malaysia memaklumkan, majlis ini dijalankan setiap minggu mengikut negeri di mana Muslimat PAS Wilayah Persekutuan telah mengambil giliran penganjuran pada minggu ini.

    “Gelombang AKIFI julung kali diadakan di Nasyrul Quran bagi memenuhi pelawaan Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa kepada pihak Dewan Muslimat dan kita amat berpuas hati dengan layanan yang diterima di sini.

    “Kita mengharapkan kerjasama daripada Yayasan Restu bagi kesinambungan Gelombang AKIFI yang seterusnya, selain berharap juga agar lebih ramai penyertaan daripada Muslimat PAS dan Wanita Umno serta masyarakat setempat pada masa akan datang,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 16/12/2019

    - Advertisement -