Sinergi dua kawasan jayakan PROTAPAS

- Advertisement -

PADANG RENGAS: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Kangsar dan Padang Rengas telah bekerjasama menganjurkan Program Tarbiyah Anak PAS (PROTAPAS) peringkat Takwin di Kem Batu Ampar, di sini bermula kelmarin.

- Advertisement -

Menurut Ketua Pemuda PAS Kuala Kangsar, Ustaz Omar Adam, peringkat Takwin ini merupakan kesinambungan dari Takrif di mana bertujuan melahirkan peserta yang faham hala tuju dan pergerakan PAS serta teknik dakwah melalui platform parti.

Katanya lagi, di antara kelainan yang diadakan pada program tahunan ini ialah simulasi lokasi dan jawatan penting dalam kem berdasarkan nama sebenar dalam parti.

Selama tiga hari dua malam program ini berlangsung, para peserta akan dihidangkan dengan pelbagai aktiviti antaranya riadah, modul berpandu, latihan dalam kumpulan, kawad kaki dan qiamullail.

Pencetus Ummah (PU) Yeop dijadualkan akan membuat satu penampilan istimewa dalam satu slot khas pada hari terakhir nanti.

Program ini dijangka berakhir pada petang Ahad dengan penyampaian sijil dan ucapan penutup oleh Ketua Jabatan Pembangunan Remaja Pemuda PAS Perak, Ustaz Amar Jamaluddin.

Ketua Pemuda PAS Padang Rengas, Helmi Affindi Ali, ketika ditemui melahirkan penghargaan kepada PAS Padang Rengas, para penyumbang, pemilik Resort dan juga fasilitator atas kerjasama baik sejak dua bulan sebelum program berlangsung. – HARAKAHDAILY 15/12/2019

- Advertisement -