Sidang Assabiqun dulu dan di depan

Penulis berucap pada Muktamar Tahunan PAS ke-65 di Kuantan.
- Advertisement -

SEPENUH syukur dan bertuah atas kelahiran Sidang Assabiqun yang peduli atas perjuangan dan aktivis silam para jasawan PAS yang tidak terhingga sumbangannya semasa segar dan sihat dulu. Satu malam tahun 2017 serentak pemilihan Tuan Guru Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur diisytiharkan dalam rapat umum di Bandar Tun Razak sebuah suara bernama Assabiqun bagi menyegarkan sekalian warga emas pendukung gerakan Islam tertua dalam negara sekarang.

- Advertisement -

Ia mengambil barakah dari dua potong ayat al-Quran ayat 100 Surah at-Taubah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dan orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak) mereka dengan kebaikan (iman dan taat). Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Ia meyediakan untuk mereka syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar”.

Dan Surah al-Waaqiah ayat 10-11 yang bermaksud: “Dan (puak yang ketiga pula iaitu) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak). Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah)”.

Moga-moga warga Sidang Assabiqun dan yang bersamanya beroleh barakah seperti mereka yang mula-mula menerima Islam di zaman Rasulullah SAW; mendapat barakah Muhajirin dan Ansar (yang sama-sama berhijrah); dan barakah orang-orang mengikut jejak mereka hingga ke hari ini; moga-moga Allah meredhai kita, dan kita pula beroleh syafaat meredhai-Nya; moga-moga disediakan syurga yang mengalir beberapa sungai di bawahnya seperti mereka; dan kekal di syurga selama-lamanya; moga-moga masing-masing beroleh kemenangan yang besar bagai yang dijanjikan.

Moga-moga dengan penampilan dalam kegiatan Sidang Assabiqun, dengan izin Allah menjadi pula puak yang ketiga yang mendahului mengerjakan kebaikan di dunia dan bakal mencapai balasan sebaik-baik di akhirat. Moga-moga jadilah masing-masing orang-orang yang disampingkan di sisi Allah.

Moga-moa atas keyakinan inilah Sidang Assabiqun bergerak mendorong warga Assabiqun mesti dulu dan di depan dalam apa gelombang dan gelora sekalipun. Para jasawan itu yang satu masa dulu sentiasa siap siaga, segar dan panas dalam juang, tetapi faktor usia dan kesihatan apabila mencapai umur 55 tahun mulai kurang daya dan tenaga, maka ramai dari mereka melepaskan tanggungjawab kepada yang lebih muda dan yang segar bagi meneruskan jasa dan bakti mereka yang berharga dulu.

Kini mereka mungkin bertongkat, yang lain terpaksa dipimpin, ada yang merangkak dan mengesot bahkan ada yang terbaring saja, masing-masing berupaya menjadi pemerhati dan mendengar dari jauh dan dekat akan perkembangan dalam masyarakat.

Pantang maut sebelum ajal Assabiqun wajar bercita-cita besar dan berpandangan jauh ke depan supaya yang lemah menjadi segar, yang bertongkat melepaskan tongkatnya, yang dipimpin berjalan sendiri, yang merangkak boleh berdiri, yang mengesot merangkak laju, maka ia mesti melihat tidak lama dari sekarang Assabiqun menjadi institusi penting, bangkit memperkasa jamaah moga-moga ummah sentiasa dulu dan di depan di hari depan layak sebagai citizens of the future.

Sidang Assabiqun redha atas kelahirannya dengan izin-Nya pada tempoh yang mencabar ini demi membantu membangunkan jamaah induk dan umat. Cita-cita kita menyekat orang lari dari kita dan mana yang terlepas dapat dikembalikan. Assabiqun redha akan kewujudannya, moga-moga Allah meredhai Assabiqun. – HARAKAHDAILY 15/12/2019

- Advertisement -